Malaysia tuan rumah Kongres Persekutuan Hemofilia Dunia 2026

Bernama
Jun 24, 2024 04:30 MYT
Kongres WFH yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 19 hingga 22 April 2026 itu bakal menghimpunkan pakar perubatan, penyelidik, saintis dan pesakit dengan membincangkan perkembangan terkini penjagaan hemofilia. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menjadi tuan rumah Kongres Persekutuan Hemofilia Dunia (WFH) pada 2026 yang dijangka menarik 4,500 delegasi dari lebih 130 negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) Azman Tambi Chik dalam kenyataan berkata acara itu bukan hanya memupuk kerjasama global dalam penjagaan hemofilia tetapi turut menyerlahkan keupayaan Malaysia sebagai destinasi utama untuk persidangan antarabangsa.
Beliau berkata kongres itu dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 19 hingga 22 April 2026.
Menurutnya Kongres WFH itu bakal menghimpunkan pakar perubatan, penyelidik, saintis dan pesakit dengan membincangkan perkembangan terkini penjagaan hemofilia.
"Kejayaan Kongres WFH diadakan di Sepanyol tahun ini yang menarik lebih 3,000 delegasi dari 135 negara akan menjadi contoh yang baik buat Malaysia," katanya.
Azman berkata Kongres WFH 2026 dijangka memberikan impak ekonomi berjumlah RM112 juta termasuk RM47.9 juta daripada perbelanjaan pelawat.
-- BERNAMA
#penjagaan hemofilia #pakar perubatan #Kongres Persekutuan Hemofilia Dunia #persidangan antarabangsa
;