Malaysia tuan rumah dua program anjuran IACA, SPRM Julai ini - Azalina

Bernama
Mac 14, 2025 23:45 MYT
Azalina berkata program berkenaan akan menjadi platform penting untuk membincangkan amalan terbaik dalam tatakelola dan pencegahan rasuah serta memperkukuh tadbir urus dan integriti. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadi tuan rumah program Regional Summer Academy (RSA) anjuran bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perhimpunan Pihak-Pihak (AoP) Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA) pada 11 hingga 14 Julai ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Malaysia juga akan menjadi tuan rumah bagi Persidangan Antarabangsa mengenai Tadbir Urus dan Integriti.
Persidangan itu katanya, merupakan anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) bersama-sama dengan SPRM, IACA dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) pada 15 Julai 2025.
Azalina yang juga Presiden AoP IACA sesi ke-13 dalam kenyataan hari ini berkata program berkenaan akan menjadi platform penting untuk membincangkan amalan terbaik dalam tatakelola dan pencegahan rasuah serta memperkukuh tadbir urus dan integriti.
Beliau berkata kedua-dua program berkenaan telah dibincangkan dalam Mesyuarat Pertama Biro bagi Sesi ke-13 AoP IACA yang dipengerusikannya di Vienna, Austria pada Khamis.
"Mesyuarat Biro IACA yang bersidang empat kali setahun (pada setiap suku tahun) ini bertujuan menyelia urusan pentadbiran yang merangkumi urusan seperti hal-hal yang terkait dengan hala tuju biro, kedudukan kewangan dan sumber manusia," katanya.
Beliau berkata sebagai Ketua Biro AoP yang dianggotai 77 negara dan empat organisasi antarabangsa, mesyuarat itu juga amat signifikan dalam merangka dasar dan strategi IACA untuk mengukuhkan peranannya sebagai akademi latihan antirasuah antarabangsa.
Mesyuarat yang turut dihadiri Duta Besar Malaysia ke Austria Ikram Mohammad Ibrahim yang juga wakil tetap Malaysia ke IACA serta beberapa pegawai tertinggi IACA, SPRM dan BHEUU, JPM itu, katanya turut membincangkan perancangan dan persiapan bagi pengendalian Sesi ke-14 AoP pada hujung tahun ini.
Azalina berkata sebagai sebahagian daripada agenda lawatan kerjanya ke Vienna, beliau turut berkesempatan menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL) Anna Joubin-Bret yang berpangkalan di situ.
Beliau berkata perbincangan tertumpu kepada rencana Malaysia untuk menerima pakai Undang-Undang Seragam mengenai Insolvensi Rentas Sempadan (MLCBI) UNCITRAL bagi menyelaraskan rangka kerja insolvensi negara dengan amalan terbaik global.
"Hal ini selaras dengan komitmen Malaysia terhadap inovasi undang-undang dan tadbir urus ekonomi yang baik, seperti yang telah saya umumkan sewaktu merasmikan Persidangan Insolvensi Rentas Sempadan 2025 pada 25 Feb lepas.
"Pertemuan dan perbincangan ini amat penting kerana sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Kerajaan MADANI akan mengemudi kerjasama undang-undang serantau termasuklah usaha mengharmonikan undang-undang insolvensi rentas ASEAN," katanya.
-- BERNAMA
#ASEAN #SPRM #MLCBI #UNCITRAL
;