Malaysia, tolong doakan Tam...
Hasimi Muhamad
Mei 20, 2019 16:21 MYT
Mei 20, 2019 16:21 MYT
WALAUPUN ramai dalam kalangan kita tidak pernah bertentang mata dengan Tam, namun berita terbaru mengenai badak sumbu Sumatera jantan terakhir di Malaysia itu pasti mengundang rasa sebak.
Khabar yang diterima menyatakan bahawa keadaan kesihatan Tam kini sudah tidak seperti dulu. Haiwan yang kini dalam perhatian pakar di Tabin, Sabah itu dilihat mula hilang selera makan dan kurang bertindak balas sejak April lalu.
Pengarah Eksekutif Borneo Rhino Alliance (BORA), Datuk Dr Junaidi Payne berkata, tahap kesihatan Tam merosot dan pihaknya percaya satu atau lebih organ dalaman haiwan itu tidak lagi berfungsi dengan baik.
"Setakat ini, rawatannya termasuk memberi suntikan cecair yang mengandungi ubat anti bakteria dan corticosteroid untuk membantu mengurangkan keradangan dan kesakitan.
"Sokongan emosi diberikan melalui kehadiran penjaga dan doktor haiwan pada setiap masa. Walau macam manapun, semua yang boleh dilakukan telah dilakukan selama beberapa minggu yang lalu. Ingat, dia sudah tua dan apa saja masalah yang dia ada sekarang sangat berkait dengan usianya," kata beliau ketika dihubungi Astro AWANI, pada Isnin.
Dengan keadaan kesihatan sekarang, Dr Junaidi Payne berkata, Tam yang berusia sekitar 35 tahun itu lebih banyak menghabiskan masa berehat di bangsalnya, berbanding melakukan rutin harian sebelum ini iaitu berkubang di dalam lumpur.
Jelas beliau lagi, usaha dan rawatan yang sepatutnya telah diberikan kepada Tam bagi memastikan spesies itu kembali sihat dan boleh menjalani kehidupan seperti biasa.
"Kerajaan Malaysia, Sabah dan Borneo Rhino Alliance telah menjaga Tam dan badak-badak lain sejak 10 tahun lalu dengan harapan satu program akan diwujudkan untuk semua badak Sumatera di dunia dapat menyumbang telur-telur atau sperma bagi meningkatkan populasi sama ada pembiakan semula jadi ataupun teknologi reproduktif terkini.
"Malangnya, itu tidak berlaku tetapi saya tidak mahu menyalahkan orang atau organisasi yang terlibat," kata Dr Junaidi.
Jelas pakar dalam bidang sejarah semula jadi dan ekologi itu lagi, spesies badak Sumatera kini semakin terancam dan dianggarkan sebanyak 50 atau 60 ekor sahaja yang masih wujud di dunia.
"Jadi walaupun 50 atau 60 ekor, hampir semua tidak boleh dibuat sumbangan kepada survival spesies ini, jadi saya sebagai ahli biologi kaji hayat (berpendapat) populasinya hampir kosong," katanya yang menambah, sehingga kini belum ada mana-mana tempat yang dapat membiakkan spesies tersebut.
Malaysia khususnya pernah berduka kerana kehilangan Puntung - badak Sumatera betina yang mati pada 4 Jun 2017 selepas diberikan suntikan menerusi prosedur euthanasia akibat menghidap kanser kulit, di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Sabah.
Sekarang, harapan hanya satu iaitu untuk melihat Tam kembali ke 'taman permainannya' dan bersama-sama Iman untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.
#badak Sumatera
#Badak Sumatera terakhir Malaysia
#badak sumbu
#BORA
#Iman
#Puntung
#Selamatkan Tam
#Tam