Malaysia tingkatkan integrasi pasaran dua hala, pelbagai hala menerusi kepengerusian ASEAN - PM

Bernama
Ogos 23, 2024 22:52 MYT
Perdana Menteri berkata Malaysia juga akan memudahkan pergerakan barangan, modal, tenaga kerja mahir dan perkongsian teknologi dengan negara jiran melalui kepengerusian ASEAN tahun depan. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia sedang mempertimbangkan pelbagai cara termasuk diplomasi perdagangan dan pengaturan strategik untuk meningkatkan persepaduan pasaran dua hala dan pelbagai hala dengan kalangan negara jiran, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Malaysia juga akan memudahkan pergerakan barangan, modal, tenaga kerja mahir dan perkongsian teknologi dengan negara jiran melalui kepengerusian ASEAN tahun depan.
"Ini satu lagi peluang untuk kita mempromosikan ASEAN, saiz dan kekuatan pasaran yang disatukan, sebagai pusat utama untuk pelaburan dan perdagangan global, sebagai satu bahagian penting dalam rantaian bekalan global, dan sebagai pusat pelancongan dan perkhidmatan.
"Ini memerlukan ASEAN diselaraskan dengan lebih baik dan mempunyai tadbir urus yang progresif untuk memanfaatkan peluang ini," kata beliau ketika berucap di Anugerah Korporat The Edge Billion Ringgit Club dan makan malam gala di sini, pada Jumaat.
Selain itu, beliau berkata permohonan Malaysia untuk menyertai blok BRICS juga akan membolehkan negara meneroka pasaran baharu dan meningkatkan peluang perdagangan dan pelaburan.
BRICS menawarkan peluang yang luas kepada perniagaan Malaysia memandangkan asas sumbernya yang pelbagai, kata beliau.
"Peningkatan akses pasaran ke negara-negara BRICS dijangkakan memberi manfaat kepada perniagaan terutama dalam sektor minyak sawit, getah dan elektronik memandangkan Malaysia mempunyai kelebihan daya saing," kata beliau.
Anwar berkata kerajaan akan memperkenalkan insentif cukai yang relevan bagi menyokong dan menghargai syarikat yang menumpukan aktiviti berimpak tinggi.
Menyentuh sektor swasta, beliau turut berkongsi kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula dasar dan peraturan sekiranya sektor berkenaan dapat meyakinkan kerajaan tindakan sedemikian dapat mendorong peningkatan pelaburan, aktiviti ekonomi dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan, khususnya bagi golongan muda.
"Kita sentiasa bersedia untuk mendengar pandangan sektor swasta dan mempelawa mereka untuk libat urus dengan lebih kerap. Bagaimanapun, dalam mengetengahkan idea dan cadangan itu, anda perlu mengutamakan usaha kemajuan negara, memikirkan rakyat serta cara untuk membantu mereka," kata beliau.
Merujuk konsep Malaysia MADANI, Anwar menegaskan ianya menumpukan aspek penyelesaian masalah, memenuhi keperluan negara, merangka masa depan yang sejahtera dan makmur selain menepati potensi rakyat serta negara.
Perdana Menteri berkata ekonomi MADANI merupakan kerangka yang menumpukan kemampanan ekonomi serta pembangunan fiskal dan menyokong keseluruhan aspirasi negara, tidak hanya dari segi hasil ekonomi tetapi juga sasaran masyarakat serta tadbir urus yang inklusif.
"Enam tonggak MADANI adalah kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan membentuk nilai teras asas yang membimbing usaha kita.
"Matlamat kita jelas - untuk mengangkat darjat hidup rakyat dan mencapai semula kepimpinan kita sebagai jaguh ekonomi serantau," kata beliau.
-- BERNAMA
#Malaysia #integrasi pasaran dua hala #ASEAN #Perdana Menteri Anwar Ibrahim