Malaysia timbang hantar pakar perubatan ke negara dilanda Ebola - Subramaniam

Bernama
September 27, 2014 18:53 MYT
SUBRAMANIAM: Malaysia timbang hantar pakar perubatan ke negara dilanda Ebola - Gambar fail
Malaysia kini sedang menimbang kemungkinan menghantar pakar perubatan ke negara yang dilanda Ebola di Afrika Barat , kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.
Beliau berkata perkara itu memerlukan pertimbangan dan kelulusan Kabinet dan pada masa yang sama Malaysia telah komited menderma 20.6 juta sarung tangan getah perubatan ke lima negara yang terjejas.
"... dan ini dalam proses untuk dihantar ke negara yang terjejas," katanya dalam satu wawancara telefon dengan BernamaTV dari Washington ketika menghadiri Persidangan Agenda Keselamatan Kesihatan Global di Rumah Putih yang dirasmikan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama.
Malaysia menghantar 11 kontena, setiap satunya mengandungi 1.9 juta sarung tangan getah perubatan ke Liberia, Sierra Leone, Guinea, Nigeria dan Kongo, negara yang terjejas teruk dengan 3,000 orang maut setakat ini.
Dalam ucapannya kepada pegawai kanan dan menteri dari 44 negara, Dr Subramaniam berkata Malaysia juga sedang memikirkan bagaimana ia boleh meningkatkan lagi bantuan kepada negara yang terjejas untuk membantu mereka mengawal wabak itu.
"Marilah kita bersama-sama mengakhiri wabak yang kejam ini," katanya menambah agenda keselamatan kesihatan global adalah satu agenda yang patut dipuji untuk membina keupayaan jangka panjang negara untuk menangani dan mengurus wabak dan wabak yang lebih besar jika berlaku.
Beliau berkata Malaysia telah menyokong usaha ini sejak mula lagi dan ini menunjukkan negara ini sebagai negara peneraju dalam Pakej Tindakan mengenai Pusat Operasi Kecemasan bersama Turki.
"Kami telah terlibat di dalam proses membina keupayaan yang diperlukan untuk
menubuhkan Pusat Operasi Kecemasan di Malaysia dan kami berharap untuk berkongsi kepakaran ini dengan negara lain dalam rantau kami malah di peringkat global," katanya.
Dalam ucapannya Obama yang menganggap tercetusnya Ebola di Afrika Barat adalah "keutamaan keselamatan kebangsaan" untuk Amerika Syarikat memberikan satu cabaran kepada pereka cipta, usahawan dan perniagaan di seluruh dunia untuk mencipta penyelesaian yang lebih baik untuk perlindungan pekerja-pekerja kesihatan di barisan hadapan.
"Jika kamu merekanya, kami akan membuatnya. Kami akan membayar untuknya dan matlamat kami untuk menghantarnya ke lapangan dalam masa beberapa bulan untuk membantu mereka yang bertugas di Afrika Barat masa ini. Saya yakin kami boleh melakukannya," kata beliau lagi.
Persidangan itu turut dihadiri oleh Setiausaha Negara AS John Kerry, Setiausaha Pertahanan Chuck Hagel dan Penasihat Keselamatan Negara Susan Rice.
#Afrika #Barack #Ebola #kabinet #kecemasan #kongo #Liberia #subramaniam
;