Malaysia tidak seharusnya diletakkan sebagai penanda aras pematuhan EUDR - Fadillah
Bernama
Ogos 8, 2023 05:15 MYT
Ogos 8, 2023 05:15 MYT
MIRI: Malaysia tidak seharusnya dianggap sebagai negara berisiko tinggi dari segi penebangan hutan dan adalah tidak adil bagi Kesatuan Eropah (EU) untuk meletakkan negara sebagai penanda aras bagi pematuhan terhadap Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof.
"Penanda aras pematuhan perlu berdasarkan kepada industri itu sendiri, bukan negara. Dengan cara sebegitu ia akan menjadi lebih baik bagi industri," katanya ketika merasmikan Pameran dan Persidangan Teknologi Pengilangan Minyak Sawit (Pomtec) 2023, di sini, pada Selasa.
Fadillah menegaskan Malaysia akan terus membincangkan perkara tersebut dalam mesyuarat Pasukan Petugas Bersama (JTF) akan datang yang turut merangkumi EU dan Indonesia.
Pasukan petugas itu telah memulakan mesyuarat pertama pada 4 Ogos, di Jakarta, Indonesia, susulan misi bersama mereka ke Brussels pada Mei.
JTF ad hoc itu menyasarkan untuk menangani kebimbangan yang dibangkitkan oleh Indonesia dan Malaysia berkaitan pelaksanaan EUDR serta mengenal pasti penyelesaian dan pendekatan praktikal.
Sementara itu, Fadillah turut berkongsi perkembangan positif berkaitan pengiktirafan EU terhadap Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai penanda aras kepada usaha negara dalam memastikan amalan bertanggungjawab dalam industri.
Ini akan dapat menyelaraskan skim pensijilan kepada keperluan EUDR yang kemudiannya akan membantu memastikan kedudukan Malaysia dalam pasaran Eropah di samping menunjukkan komitmen sejak sekian lama negara dalam menghasilkan minyak sawit yang mampan di peringkat global.
Fadillah menegaskan kementeriannya memandang serius tentang isu EUDR dan telah mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak yang terkesan untuk membincangkan dan menyelaraskan komitmen dalam memudahkan usaha negara membendung aktiviti penebangan hutan, serta mengelak daripada diklasifikasikan sebagai negara 'Berisiko Tinggi'.
Pengenalan EUDR oleh EU dikatakan kononnya bertujuan untuk menjamin bahawa produk yang dimakan dan digunakan tidak menyumbang kepada aktiviti penebangan hutan dan menggalakkan penggunaan komoditi mampan di Eropah.
"Namun dari segi praktis dan hakikat sebenarnya, EUDR dijangka hanya akan berfungsi sebagai satu lagi halangan perdagangan yang menetapkan syarat-syarat dan keperluan yang sangat ketat untuk mengimport agrikomoditi ke pasaran Eropah," katanya.
Timbalan Perdana Menteri juga menggesa pengusaha kilang sawit di seluruh negara untuk menerima pakai amalan mampan serta mencuba kaedah dan strategi inovatif bagi menambah nilai kepada rantaian pengeluaran minyak sawit dan meningkatkan keseluruhan daya saing mereka dalam industri.
Pomtec 2023, yang bertemakan "Menuju Ke Arah Operasi Perniagaan Mampan dan Nilai Tambah," dianjurkan oleh Persatuan Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA).
-- BERNAMA