Malaysia tidak rekodkan kes pesakit kembali positif COVID-19
Hasimi Muhamad
April 12, 2020 19:54 MYT
April 12, 2020 19:54 MYT
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kes individu yang disahkan sembuh tetapi kembali positif COVID-19 masih berada pada tahap rendah di negara ini
Bagaimanapun, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah setakat ini Malaysia tidak merekodkan pesakit yang kembali positif.
“Banyak kes sekarang ini apabila kita melihat kepada ujian yang weak positif tak banyak tetapi ada kebarangkalian mereka boleh dijangkiti semula.
“Setakat ini kita tak ada pesakit yang dijangkiti semula tetapi ada dua kes (kalau) tak salah saya yang ada weak positif. Jadi, kita dah kesan weak positif dan kita bandingkan lebih kurang iaitu yang sangat-sangat lemah yang mana di peringkat “viral shedding”,” katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.
Terdahulu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sedang meneliti laporan beberapa pesakit COVID-19 yang disahkan kembali positif selepas mereka diuji negatif virus tersebut dan dalam proses untuk discaj.
Ia selepas pegawai di Korea Selatan melaporkan 91 pesakit yang disahkan bebas virus tersebut telah disahkan kembali positif.
Menurut Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (CDC), Jeong Eun-kyeong COVID-19 kemungkinan boleh kembali aktif semula pada pesakit sudah sembuh.
Berdasarkan garis panduan WHO, pesakit hanya akan ditentukan pulih sepenuhnya selepas diuji dua kali dan menunjukkan negatif dalam tempoh 24 jam.