Malaysia tidak pinggir isu Syria, Palestin dan Rohingya - Reezal Merican
Astro Awani
Julai 12, 2017 15:52 MYT
Julai 12, 2017 15:52 MYT
Malaysia sentiasa prihatin terhadap konflik yang melanda Syria, Palestin dan Rohingya yang mengakibatkan kematian dan penderitaan.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Malaysia menggesa semua pihak terbabit untuk menghentikan keganasan dan kembali ke meja rundingan bagi mencapai penyelesaian politik terhadap konflik tersebut.
"Kita memberi jaminan bahawa Malaysia akan terus menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk mencapai kebebasan dan keamanan.
"Malaysia juga menyambut baik usaha yang telah dijalankan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), susulan Sesi Khas CFM OIC mengenai Rohingya yang diadakan pada Januari lepas di Kuala Lumpur," katanya ketika menghubungi Astro AWANI, di sini, hari ini.
Reezal Merican mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Ke-44 Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri (CFM) OIC di Abidjan, Cote d’Ivoire hingga semalam.
Sesi CFM OIC tersebut membincangkan isu-isu politik, ekonomi dan sosiobudaya yang melibatkan umat Islam dan dipengerusikan oleh Cote d’Ivoire.
Dalam ucapan perasmian sesi tersebut, Presiden Cote d’Ivoire Alassane Ouattara merakamkan penghargaan khas kepada Malaysia sebagai antara negara rakan yang telah membantu dalam menjayakan sesi tersebut.
Pada sesi sama, Reezal Merican berkongsi pengalaman Malaysia dalam mempromosikan keamanan dan pembangunan, selaras dengan tema Sesi CFM OIC ke-44 iaitu “Role of Youth, Peace and Development in a World of Solidarity.”
Semasa Sesi Khas CFM tersebut, Reezal juga menyampaikan kenyataan negara yang menyentuh isu-isu penting bagi Malaysia dalam OIC.
"Saya ambil peluang di sela (side line meeting) Sesi CFM tersebut untuk mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan wakil-wakil dari anggota OIC yang lain seperti Maldives, Qatar, dan Kyrgyzstan.
"Saya juga mengadakan perbincangan dengan Pesuruhjaya Agensi PBB bagi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin (UNRWA).
"Ini bukti komitmen berterusan dan sokongan Kerajaan Malaysia terhadap usaha-usaha OIC dalam menangani isu-isu dan cabaran-cabaran semasa yang dihadapi oleh umat Islam," jelasnya.