Malaysia tidak pernah tuduh Rusia berhubung nahas MH17 - Liow
Shuhami Zabri
Oktober 16, 2015 06:41 MYT
Oktober 16, 2015 06:41 MYT
Malaysia tidak pernah menuduh atau meletakkan kesalahan nahas pesawat MH17 ke atas Rusia.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata laporan akhir yang dikeluarkan pada Selasa oleh Lembaga Keselamatan Belanda (BDS) itu juga tidak menyalahkan Rusia mahupun mana-mana kumpulan pemberontak sebagai terbabit dalam aktiviti jenayah itu.
"Dalam kes ini, saya tidak melihat sebarang tuduhan, apa juga terhadap Rusia," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Persidangan Khas Parti Politik Asia di Laluan Sutera di Beijing, Jumaat.
Liow yang dipetik Bernama sebagai berkata, apa juga input daripada pihak-pihak berkaitan berhubung tragedi pesawat pada 17 Julai 2014 itu akan diambil perhatian oleh penyiasat teknikal.
Pada Khamis, Duta Rusia ke Malaysia, Valery N Yermolov mendesak Kuala Lumpur menghentikan sikap menunding jari berhubung tragedi itu dan sebaliknya menumpukan perhatian kepada usaha mencari pelaku sebenar jenayah itu.
Laporan akhir siasatan oleh DBS yang dikeluarkan Selasa lepas antara lain mendakwa pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK buatan Rusia di ruang udara timur Ukraine membunuh kesemua 298 penumpang serta anak kapalnya.
Ketika itu, pesawat berkenaan dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Laporan akhir tragedi itu dikeluarkan setelah siasatan selama 15 bulan oleh pasukan penyiasat antarabangsa yang diketuai BDS.