KUALA LUMPUR: Malaysia tidak pernah mengabaikan kelestarian alam sekitar terutama dalam mengejar peluang yang ditawarkan oleh komoditi pertanian, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata dengan permintaan yang semakin meningkat di seluruh dunia untuk komoditi yang dihasilkan secara mampan, Malaysia menyedari adalah sangat penting untuk mengimbangi keperluan semasa tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang dalam memenuhi keperluan mereka.

"Kelestarian alam sekitar ini meliputi seluruh dunia - Kesatuan Eropah (EU) mahu pelihara alam sekitar, kita juga mahu pelihara alam sekitar dan menjaga kebajikan pekerja - cuma bila menjaga atau pelihara, mungkin standardnya berlainan kerana senario kita tidak sama dengan mereka.

"Jadi, mesti adakan penglibatan (engagement) supaya mereka mengetahui apa usaha kita ke arah memastikan kelestarian alam sekitar, menjaga kebajikan pekerja, dan usaha yang kita jalankan untuk mengeluarkan pekebun kecil daripada kemiskinan," kata beliau kepada pemberita di acara Forum Perniagaan Global 2023 di sini pada Khamis.

Beliau berkata Malaysia komited untuk memenuhi keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Kita telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan ia dapat dicapai dan akan terus berbuat demikian.

"Dengan mengambil kira kelapa sawit merupakan sektor komoditi terbesar di negara ini, kita kini memberi tumpuan kepada memperluaskan skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO)," katanya.

Sehingga kini, pensijilan MSPO telah mencapai 97.93 peratus atau 5.62 juta hektar kawasan tanaman manakala kira-kira 98.71 peratus atau 458 kilang di negara ini juga telah diperakui.

"Hakikatnya adalah minyak sawit menawarkan cara yang mampan untuk memenuhi permintaan dunia yang semakin meningkat terutamanya berkaitan dengan keselamatan makanan, perubahan iklim, kekurangan tanah pertanian dan populasi.

"Justeru, pasaran antarabangsa harus mengiktiraf pensijilan MSPO kita dan menerima produk kita sebagai hasil yang dikeluarkan secara mampan," tegasnya.

Sementara itu, beliau berharap agar peruntukan untuk kementeriannya tidak dikurangkan dalam Belanjawan 2023.

"Kita mengharapkan begitu dan sebenarnya kita meminta tambahan termasuklah bagi usaha untuk mempelbagaikan lagi aktiviti hiliran supaya kegunaan getah, kelapa sawit ini akan dapat dipertingkatkan dan ini akan membantu menambah pendapatan, khususnya untuk pekebun-pekebun kecil," katanya.

Pada 2022, sektor agrikomoditi telah merekodkan jumlah nilai dagangan RM268.1 bilion dengan imbangan dagangan RM146.5 bilion.

Pendapatan eksport daripada produk agrikomoditi berjumlah RM207.3 bilion atau bersamaan 13.4 peratus daripada jumlah pendapatan eksport negara.

Bagi tempoh Januari hingga September 2022, sektor itu telah menyumbang RM61.3 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia atau 5.5 peratus daripada KDNK negara.

-- BERNAMA