Malaysia tidak layan, iktiraf tuntutan waris Kesultanan Sulu

Astro Awani
Mac 2, 2022 21:04 MYT
Malaysia sentiasa menegakkan dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia tidak akan melayan tuntutan dan arahan untuk membayar pampasan bernilai kira-kira RM63 bilion kepada pihak-pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.
Dalam satu kenyataan bersama Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Peguam Negara, Malaysia juga tidak mengiktiraf tuntutan yang dibuat waris Kesultanan Sulu menerusi prosiding timbang tara di Paris.
Tegas kenyataan itu, Malaysia sentiasa menegakkan dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.
"Malaysia tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara yang dikatakan itu.
“Tambahan pula, hal perkara dalam tuntutan tersebut bukan bersifat komersil dan tidak boleh dibawa ke prosiding timbang tara serta Perjanjian 1878 juga tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara,” kata kenyataan itu yang menjelaskan bahawa identiti penuntut diragui dan belum disahkan.
Tambah kenyataan itu, pada 14 Januari 2020, Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak yang bersidang di Kota Kinabalu, telah membuat keputusan yang tidak memihak kepada penuntut dengan memutuskan bahawa Perjanjian 1878 tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara.
“Penimbang tara tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan perkara yang dibangkitkan dan Mahkamah Tinggi Sabah merupakan forum yang neutral dan teratur untuk memutuskan apa-apa tuntutan berkenaan dengan Perjanjian 1878 tersebut.
“Malaysia telah memfailkan permohonan untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi Sabah tersebut di Mahkamah Tinggi Madrid di Sepanyol. Bagaimanapun, permohonan tersebut belum didengar,” katanya.
Tambah kenyataan itu, pada 29 Jun 2021, berdasarkan permohonan Malaysia, Mahkamah Tinggi di Madrid, Sepanyol telah memutuskan bahawa serahan notis di bawah prosiding pelantikan penimbang tara bagi maksud tuntutan tersebut tidak diserahkan dengan teratur kepada Malaysia selaras dengan peraturan-peraturan antarabangsa dan undang undang Sepanyol (Keputusan Pembatalan).
“Ia juga tidak selaras dengan keputusan kes sebelum ini di bawah Mahkamah Tinggi Madrid bagi maksud proses serahan kepada negara berdaulat.
“Akibat daripada keputusan pembatalan tersebut, Dr Stampa bukan lagi seorang penimbang tara dalam prosiding timbang tara tersebut dan semua keputusan Dr Stampa, termasuk Final Award, adalah tidak sah dan terbatal. Malaysia menolak sepenuhnya Final Award bertarikh 28 Februari 2022 yang telah dikeluarkan oleh Dr Stampa,” katanya.
Kenyataan itu turut berkata, Malaysia akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala tuntutan tersebut dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.
Pada Isnin, laman web berita Sepanyol La Información melaporkan bahawa penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan kepada waris sultan Sulu itu sekurang-kurangnya RM62.59 bilion.
Justeru Dr Stampa, Malaysia kini mempunyai tiga bulan untuk membayar pampasan itu atau berisiko membayar faedah, melainkan anugerah tersebut dibatalkan.
#kesultanan sulu #Tuntutan kepada Malaysia #Kementerian Luar #kedaulatan Malaysia
;