Malaysia tidak layak terima vaksin percuma, diskaun - Khairy

Aida Aziz
Mac 16, 2021 13:10 MYT
Malaysia tidak layak terima bekalan vaksin secara percuma memandangkan negara ini bukan dikategorikan sebagai negara berpendapatan rendah, kata Khairy Jamaluddin. - Gambar fail BERNAMA
IPOH: Malaysia tidak layak menerima bekalan vaksin secara percuma memandangkan negara ini bukan dikategorikan sebagai negara berpendapatan rendah, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.
Menurut Khairy, walaupun terdapat beberapa negara yang mendapat vaksin percuma dari China dan India, namun, Malaysia tidak tersenarai kerana dikategorikan sebagai negara berpendapatan menengah ke atas.
"Diskaun tak dapat, percuma pun tak dapat... kena beli sendiri, tidak dapat apa pun percuma (vaksin), kita kena beli untuk dapatkan vaksin," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia Ipoh, di sini pada Selasa.
Yang turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Ling Lay Ming.
Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan bahawa kerajaan India menawarkan untuk memberi vaksin secara percuma kepada beberapa buah negara.
Anwar turut mempersoalkan sama ada Malaysia ditawarkan vaksin percuma itu.
#vaksin COVID-19 #vaksin percuma #diskaun #Malaysia tidak layak #Khairy Jamaluddin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Anwar Ibrahim #Ketua Pembangkang #India #China
;