Malaysia tidak jalin kerjasama ketenteraan dengan Hamas - Zahid
Astro Awani
Ogos 1, 2014 17:18 MYT
Ogos 1, 2014 17:18 MYT
Malaysia tidak pernah menjalin sebarang kerjasama terutamanya dari segi ketenteraan dengan Hamas atau mana-mana pihak di Palestin.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini hubungan dan kerjasama dengan Palestin merupakan hubungan diplomatik, perdagangan, dan kebudayaan sahaja.
"Malaysia juga merupakan penyokong kuat pejuang Palestin dari segi moral dan bantuan kemanusiaan.
"Sokongan padu rakyat Malaysia ini adalah kerana hubungan baik antara pemimpin Malaysia dan Palestin yang telah terjalin sekian lama dan ada kemungkinan ini menyebabkan pihak Israel tidak berpuas hati," katanya dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI di sini.
Dr Ahmad Zahid mengulas laporan Jerusalem Post mengenai pendedahan seorang pejuang Hamas yang ditahan Israel berkata, dia menerima latihan di Malaysia untuk melancarkan serangan rentas sempadan menggunakan payung terjun berkuasa.
Pejuang itu memberitahu para penyiasat bahawa latihan yang diterimanya adalah sebahagian daripada persiapan Hamas untuk menentang Israel di Semenanjung Gaza.
Ujarnya, agensi perisikan Israel, Shin Bet dilihat cuba merangka propaganda sebegini demi mencemarkan nama baik Malaysia dengan tuduhan yang tidak berasas.
Pada Khamis, Pemimpin Kanan Hamas, Dr Khaled Qadoumi menafikan tuduhan Shin Bet bahawa Malaysia melatih anggotanya untuk melancarkan serangan rentas sempadan.
Jelas Dr Khaled, ia cubaan rejim Zionis Israel mengolah propaganda untuk menutup kelemahan dan kekejaman di Gaza.