'Malaysia tidak iktiraf sebarang tuntutan ke atas Sabah' - Wisma Putra

Astro Awani
Mei 27, 2016 19:34 MYT
Sebuah akhbar melaporkan, Presiden dipilih Filipina, Rodrigo Duterte menegaskan akan menuntut Sabah untuk dijadikan milik negara itu. - Foto AFP
Kerajaan tidak mengiktiraf dan tidak akan melayan sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak ke atas Sabah.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar memberitahu, Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian dari Malaysia sejak 16 September 1963.
"Kementerian Luar mengambil maklum mengenai kenyataan sesetengah pihak yang muncul di dalam media massa berkenaan tuntutan ke atas Sabah baru-baru ini," jelas kenyataan itu.
Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan, Presiden dipilih Filipina, Rodrigo Duterte menegaskan akan menuntut Sabah untuk dijadikan milik negara itu.
Ia sebenarnya merupakan tuntutan lama negara itu terhadap Sabah.
Pada tahun lepas, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, kementeriannya telah memanggil Charge d Affaires Kedutaan Besar Filipina, Medardo G. Macaraig untuk menegaskan pendirian yang sama.
Ia rentetan kenyataan Presiden Filipina, Benigno Aquino III mengenai tuntutan Filipina ke atas Sabah dalam satu sesi wawancara dengan pemberita.
Ketika dalam wawancara dengan pemberita Philippine Star, Aquino telah menyatakan bahawa Filipina tidak berhasrat untuk menggugurkan tuntutan terhadap Sabah, sebaliknya akan melakukan kajian terperinci sebelum mengambil tindakan lanjut berhubung isu tersebut.
Menurut Presiden Filipina itu, adalah mustahil untuk Manila menamatkan tuntutan ke atas Sabah kerana perkara tersebut akan mengundang rasa tidak senang rakyat Filipina.
#Anifah #Filipina #Kementerian Luar #Sabah
;