Malaysia tidak akan layan tuntutan ke atas Sabah - Anifah

Teoh El Sen
Mac 28, 2013 18:50 MYT
Malaysia tidak akan melayan sebarang tuntutan ke atas Sabah, sama ada daripada ‘kesultanan’ Sulu atau mana-mana pihak yang lain, termasuk kerajaan Filipina.
Itu reaksi Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman ketika ditanya mengenai laporan berita baru-baru ini yang telah mencetuskan kebimbangan bahawa Manila akan menghidupkan semula tuntutan tersebut.
"Saya telah sebut dengan jelas sebelum ini. Kita tidak perlu melayan apa-apa tuntutan. Kami tidak akan melayan apa-apa tuntutan sekalipun, " Anifah memaklumkan kepada Astro Awani.
"Mereka boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu," katanya, merujuk laporan mengenai arahan daripada Jabatan Filipina Luar Negeri (DFA).
"Kami tidak perlu mengulas. Jika saya mengulasnya kita hanya bertindak balas terhadap apa yang mereka [minta]. "
Pada Selasa, media Filipina melaporkan DFA telah mengeluarkan arahan kepada semua agensi kerajaan di negara itu yang melarang daripada merujuk Sabah sebagai sebahagian Malaysia.
DFA turut mengingatkan semua agensi berkenaan satu memorandum pekeliling telah dikeluarkan oleh Istana Malacanang pada tahun 2008.
Satu laporan memetik peguam Roy Ecraela, daripada Pejabat DFA, yang berkata bahawa dokumen itu mengarahkan agensi-agensi kerajaan untuk merujuk kepada Sabah sebagai hanya Sabah dan bukan Sabah, Malaysia.
Pada Mac 18, Presiden Benigno Aquino berkata bahawa Filipina terbuka untuk berunding dengan Malaysia mengenai tuntutan ke atas Sabah.
Filipina juga dilaporkan telah melantik satu pasukan peguam untuk mengkaji tuntutan tersebut.
Pencerobohan di Sabah tercetus apabila sekumpulan kira-kira 200 pengganas mendarat di Lahad Datu, pada 9 Feb. Mereka yang menggelar diri mereka pengikut 'Sultan’ Sulu Jamalul Kiram III berhasrat untuk menuntut Sabah.
#Anifah Aman #Filipina #Lahad Datu #operasi daulat #Ops Daulat #Sabah #Sulu
;