Malaysia tidak akan jadi negara maju jika sungai, udara tercemar - Tun M
Rahimah Abdullah
April 20, 2019 10:58 MYT
April 20, 2019 10:58 MYT
Malaysia tidak akan mencapai atau diiktiraf sebagai status sebuah negara maju jika sungai dan udara masih tercemar serta hutan belantara terancam.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata masalah itu disebabkan pembangunan tidak teratur dan sikap mementingkan keuntungan semata-mata.
“Perlu kita sedari, usaha kita untuk menjadi sebuah negara maju tidak akan tercapai atau diiktiraf jika apa yang boleh kita perlihatkan adalah bangunan-bangunan pencakar langit tetapi sungai-sungai kita tercemar, hutan belantara kita hanya tinggal tanah yang tandus dan udara yang kita hirup teruk tercemar.
“Dalam lain perkataan, kita akan hanya berjaya menjadi sebuah negara maju apabila kita berupaya memastikan pembangunan fizikal negara beriringan dengan pemeliharaan alam semulajadi dan kehijauan kawasan persekitaran,” katanya semasa berucap melancarkan Hari Bumi di Taman Tugu, di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, kira-kira 4,000 batang pokok hutan hujan asli Malaysia telah ditanam di sekitar Taman Tugu.
“Ini adalah tambahan kepada kira-kira 1,000 batang pokok asal di sini yang terpelihara. Kerana itu pemilihan tapak Taman Tugu untuk sambutan Hari Bumi pada tahun ini cukup bermakna dan amat simbolik.
“Selain memelihara dan meningkatkan kawasan hijau ini, Projek Taman Tugu, saya juga diberitahu ia turut bertujuan untuk melahirkan lebih ramai pencinta alam menerusi program pendidikan awam yang dijalankan khususnya pada hujung minggu,” ujarnya.
Perdana Menteri berkata Taman Tugu serta persekitaran semulajadi lain yang telah dipertahankan akan kekal untuk generasi akan datang.
“Kehadiran pada hari ini, terutamanya dalam kalangan generasi muda, memberi kita keyakinan bahawa usaha kita untuk mempertahankan persekitaran ini tidak sia-sia, malahan kesedaran ini akan berkembang di kalangan rakyat,” tambahnya.
#Hari Bumi
#hutan belantara terancam
#Mahathir Mohamad
#mementingkan keuntungan
#pembangunan tidak teratur
#pemeliharaan alam semulajadi
#udara tercemar