Malaysia tidak akan henti bantu Palestin, akan sediakan tempat rawatan untuk mereka - PM
Firdaus Azil
Ogos 4, 2024 22:45 MYT
Ogos 4, 2024 22:45 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia akan menyediakan tempat rawatan kesihatan yang sewajarnya untuk sebahagian daripada rakyat Palestin, khususnya wanita dan kanak-kanak yang sakit atau tercedera susulan kekejaman regim Zionis Israel di negara itu.
Ringkasan AI
- Malaysia akan menyediakan rawatan kesihatan untuk rakyat Palestin yang tercedera, khususnya wanita dan kanak-kanak.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berbincang dengan pemimpin negara Arab seperti Presiden Mesir dan Presiden Turki untuk memudahcara proses rawatan tersebut.
- Anwar berikrar akan terus menyokong perjuangan Palestin dan memastikan bantuan dan sokongan Malaysia berterusan tanpa tolak ansur.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sudah berbincang dengan beberapa pemimpin negara Arab untuk memudahcara proses tersebut, khususnya dengan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi dan Presiden Turki, Reccep Tayyip Erdogan.
Tegasnya lagi, selagi mendapat mandat daripada rakyat Malaysia untuk terus menerajui negara, Anwar berikrar akan melakukan segala yang terdaya untuk membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin, dan menyokong perjuangan mereka untuk bebas daripada penjajahan rejim Zionis.
“Insya-Allah kita akan lakukan sedaya upaya kita, akan suarakan pandangan kita tak kira depan siapa. Kita akan bantu, yang sakit sama ada dirawat di sana atau dibawa ke mari, kita akan teruskan tanpa tolak ansur. Kerajaan akan peruntukan dana.
“Selain itu saya berharap anda (rakyat Malaysia) juga jangan berhenti berbicara setiap hari mengenai Palestin. Jangan berhenti bantu dan sedekah untuk meringankan (penderitaan) rakan kita di Palestin. Saya mahu Malaysia terletak dalam peta sejarah yang negara lebih konsisten, dan sungguh-sungguh dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
“Kita akan teruskan usaha ini. Saya mohon maaf tak mampu bicara panjang. Insya-Allah dengan mandat yang diberikan rakyat Malaysia, saya akan lakukan sedaya-upaya yang mampu untuk membantu dan membela nasib mereka,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap di kemuncak Himpunan Pembebasan Palestin yang berlangsung di Stadium Axiata, Bukit Jalil, pada Ahad.
Perdana Menteri dalam ucapannya turut menzahirkan penghargaan kepada beberapa pemimpin negara Arab, termasuk Emir Qatar Tamim Hamad Al-Thani kerana melakukan persiapan pengebumian Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang terbunuh baru-baru ini, serta Presiden Iran Masoud Pezeshkian yang sentiasa konsisten menyokong perjuangan Palestin.
Selain itu beliau turut berterima kasih kepada Raja Bahrain, Hamad Isa Al-Khalifa; Presiden Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Mohammed Zayed Al-Nahyan, dan Putera Mahkota dan juga Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed Salman di atas kerjasama dan dukungan yang diberikan.
Tegas Perdana Menteri lagi, jangan ada pihak lain di luar sana yang cuba melemahkan semangat daya juang dan roh jihad rakyat Palestin yang amat mendambakan negara mereka menjadi merdeka dan berdaulat.
Dalam pada itu Anwar berkata beliau amat bingung mengapa kuasa-kuasa besar dunia menganggap rakyat Palestin yang telah menderita sejak puluhan tahun lamanya, seperti dianggap separuh manusia.
“Tidak ada jawapan munasabah, selain daripada sikap (mereka) yang penuh dengan ciri hipokrisi dan kemunafikan. Sebab itu kita tidak ada pilihan … siapa kata saya berani sangat? Tapi saya hanya mewakili anda jalani tanggungjawab.
“Saya (masih) fikir dan bimbang nasib rakyat Malaysia, nasib negara, saya mahu Malaysia gagah, ekonomi maju dan hebat, politik stabil, rakyat Bersatu-padu, dan maju dalam teknologi.
“Tetapi saya juga manusia, saya faham kemanusiaan, tak mahu rakyat dizalimi, Palestin dijadikan hamba abdi, maka saya bertanggungjawab dengan anda untuk bangkit bela perjuangan rakyat Palestin,” katanya lagi.
Malaysia, tegasnya lagi, sebagai sebuah negara yang majoritinya adalah Melayu, dan mempunyai wakil daripada pelbagai agama dan bangsa, akan terus berpegang kepada prinsip keadilan dan kemanusiaan.