Malaysia tidak akan berdepan kegawatan ekonomi tahun ini - Ahmad Maslan

Astro Awani
Mac 6, 2023 12:20 MYT
Ahmad Maslan memberitahu, berdasarkan statistik, meskipun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan global, Malaysia tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada 2023. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan menegaskan, Malaysia tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada tahun ini seperti yang diramalkan akan berlaku di kebanyakan negara di dunia.
Sebaliknya, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.5 peratus.
Menurut beliau, ia adalah selari dengan ramalan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi negara sebagai 4.4 peratus dan 4 peratus.
"Berdasarkan statistik ini, meskipun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan global, saya ingin menegaskan bahawa Malaysia tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada 2023.
"Hal ini berdasarkan takrifan kegawatan atau kemelesetan ekonomi secara teknikal adalah apabila sesebuah negara mengalami penguncupan ekonomi iaitu pertumbuhan negatif suku tahunan sebanyak dua kali berturut-turut," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mengenai pelan kerajaan dalam menghadapi kegawatan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun ini.
Mengulas lanjut, Ahmad menjelaskan, kerajaan akan terus mengutamakan pertumbuhan ekonomi negara
dan pembangunan yang saksama untuk rakyat serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik.
"Kerajaan akan memudahcara proses pelaburan, mewujudkan lebih banyak syarikat pemula berinovasi tinggi dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal," tambah beliau.
#Bank Dunia #Dewan Rakyat #Tabung Kewangan Antarabangsa #Kementerian Kewangan
;