Malaysia tiada hasrat bina hospital medan di Palestin, risiko tinggi diserang Israel
Astro Awani
Ogos 16, 2024 19:05 MYT
Ogos 16, 2024 19:05 MYT
SHAH ALAM: Malaysia tidak berhasrat untuk membina hospital medan di Palestin kerana ia akan mendedahkan petugas dan pesakit kepada ancaman termasuk diserang Pasukan Pertahanan Israel (IDF).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, atas asas itu, Malaysia membawa 41 warga Palestin yang cedera untuk rawatan di negara ini.
"Kita tidak membina hospital medan di sana (Palestin) kerana ia sangat berisiko. Lebih-lebih lagi pihak IDF tidak kira markas tentera atau hospital mereka tetap bom.
"Jadi sebab itulah kita tidak melihat itu keputusan membina hospital medan itu baik. Lebih-lebih lagi Malaysia berpendirian tegas dalam soal Palestin.
"Lebih baik kita bawa balik mereka mendapatkan rawatan di negara ini tanpa apa-apa gangguan sekali gus mereka lebih selamat di sini (mendapatkan rawatan)," katanya pada sidang media ketika menyambut ketibaan warga Palestin di Pengkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, pada Jumaat.
Sebelum itu, Mohamed Khaled memaklumkan, seramai 127 warga Palestin yang terdiri daripada 41 pesakit berusia lapan bulan hingga 62 tahun bersama 86 orang waris tiba di Malaysia bagi mendapatkan rawatan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.
Dua pesawat pengangkut TUDM Airbus A-400M yang membawa rakyat Palestin itu mendarat Pangkalan Udara TUDM kira-kira jam 2 petang dan 2.15 petang.