Malaysia-Thailand tunjuk isyarat jelas mahu percepat pertumbuhan ekonomi - PM Anwar
Bernama
Ogos 3, 2024 17:00 MYT
Ogos 3, 2024 17:00 MYT
PASIR MAS: Kesepakatan Malaysia dan Thailand termasuk dalam pembinaan Jambatan Kedua Sungai Golok-Rantau Panjang dekat sini, memberi isyarat jelas bahawa kedua-dua negara mahukan pertumbuhan ekonomi kawasan itu berjalan pantas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kedua-dua negara juga bersetuju supaya tumpuan diberikan kepada pelaksanaan beberapa projek utama yang sudah lama tertangguh, sehingga ada yang telah mengambil masa puluhan tahun, kerana ia akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat.
"Pertemuan tadi kita minta (pembinaan projek jambatan kedua) disegerakan dan jadi keutamaan projek kerjasama antara Thailand dan Malaysia, untuk beri gambaran positif tentang peningkatan kerjasama dari segi peningkatan ekonomi untuk Narathiwat (selatan Thailand) dan utara Kelantan.
"Sementara jambatan siap, kita (Malaysia) juga harus mengadakan beberapa projek pembangunan daripada sudut peluang-peluang perniagaan, gerai dan warung serta tempat perniagaan yang lebih baik di kawasan berdekatan jambatan, supaya ia tidak hanya jambatan tetapi juga rangkaian perniagaan di sebelah Kelantan," kata beliau.
Anwar berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja ke Rantau Panjang dan Sungai Golok di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, di sini hari ini, yang turut melibatkan pertemuan dengan rakan sejawat dari Thailand Srettha Thavisin.
Anwar berkata pelaksanaan pembinaan jambatan kedua itu dijangka mengambil masa dua tahun selepas dimulakan pada April tahun depan, namun beliau optimis ia masih boleh dipercepatkan atau fast track tanpa menjejaskan kualiti jambatan tersebut.
"Tender juga (dipercepatkan) kerana ia melibatkan 10 syarikat di Malaysia dan 10 syarikat di Thailand, tetapi proses tender itu (juga) boleh dipercepatkan. Kalau (jangkaan) siap pada 2027, mungkin kita boleh siap pada akhir 2026," katanya.
Sebaik sahaja pembinaan jambatan kedua itu siap, Anwar berkata jambatan sedia ada yang menghubungan kedua-dua negara sejak 1971 akan dinaik taraf, yang secara tidak langsung menunjukkan kerajaan Persekutuan banyak memberi tumpuan kepada negeri Kelantan.
Srettha, menurut Anwar juga memberi maklum balas yang baik terhadap perjalanan projek tersebut, dengan Anwar menyifatkan pemimpin Thailand itu sebagai seorang yang praktikal dan pantas menyelesaikan perkara berbangkit.
"Saya senang dengan rakan sejawat saya (Srettha). Kalau hendak percepatkan jambatan, dua minggu bagi laporan dan Kabinet (Malaysia) akan teliti di sini dan Kabinet Thailand akan teliti di Bangkok. Jadi dengan cara itu, kita akan menyaksikan perubahan yang baik," katanya.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim
#malaysia thailand
#ambatan Kedua Sungai Golok-Rantau Panjang
#pertumbuhan ekonomi
#Srettha Thavisin