Malaysia, Thailand tamatkan operasi 24 jam kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, CIQ Sadao
Bernama
Jun 16, 2020 05:42 MYT
Jun 16, 2020 05:42 MYT
Malaysia dan Thailand tidak akan meneruskan operasi 24 jam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Kompleks Imigresen, Kastam, dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand berikutan jumlah pergerakan kenderaan berat dan bermuatan yang sangat rendah.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan pada Selasa berkata, bermula Rabu, waktu pengoperasian di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam bagi laluan kenderaan berat kembali ke waktu operasi asal iaitu dari 6 pagi hingga 12 tengah malam.
Katanya, ini berikutan hasil kajian Jawatankuasa Penilai Keberkesanan Operasi 24 jam di dua kompleks itu, mendapati jumlah pergerakan kenderaan berat dan bermuatan kurang daripada satu peratus jumlah pergerakan kenderaan berat dan bermuatan, sepanjang waktu pelanjutan tempoh operasi dari 12.01 tengah malam hingga 5.59 pagi.
“Ia dilihat tidak memberi kesan atau impak signifikasi dalam meningkatkan perdagangan dua hala dan merancakkan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhannya termasuk untuk menjayakan usaha ke arah mewujudkan hab logistik bersepadu,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, bagi tujuan penyelarasan masa operasi di kedua-dua belah pihak, kerajaan menamatkan pelaksanaan tempoh percubaan pengoperasian 24 jam bagi kenderaan berat dan bermuatan di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada Selasa.
“Kerajaan Malaysia dan Thailand melalui Mesyuarat Dua Hala Malaysia-Thailand Kedua berhubung Pelaksanaan Operasi 24 Jam di ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao yang diadakan pada 10 Jan 2019 bersetuju agar pelaksanaan operasi 24 jam di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao dilaksanakan secara tempoh percubaan selama tiga bulan, khusus untuk kenderaan berat dan bermuatan bermula 18 Jun 2019 sehingga 17 Sept 2019.
“Pada akhir tempoh tersebut, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh percubaan untuk sembilan bulan lagi, menjadikan keseluruhan tempoh percubaan dilaksanakan selama 12 bulan dan akan tamat pada 17 Jun 2020,” menurut kenyataan itu.
Menurut KDN, sebarang cadangan pembukaan semula atau pemberian kelonggaran terhadap operasi pintu masuk negara akan dipertimbangkan dari semasa ke semasa tanpa mengabaikan aspek kawalan sempadan dan hasrat penjanaan semula ekonomi negara.
-- BERNAMA
#Bukit Kayu Hitam
#CIQ
#ekonomi
#ICQS
#Imigresen
#kastam
#kawalan
#KDN
#Kedah
#kelonggaran
#kenderaan berat
#kerajaan
#keselamatan
#Mesyuarat Dua Hala
#operasi
#operasi 24 jam
#perdagangan dua hala
#pintu masuk
#Sadao
#sempadan
#tempoh operasi
#tempoh percubaan
#Thailand