Malaysia, Thailand komited perkukuh hubungan, teroka kerjasama baharu dalam pertahanan
Bernama
Januari 29, 2025 19:00 MYT
Januari 29, 2025 19:00 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Thailand komited untuk memperkukuhkan hubungan sedia ada, selain meneroka peluang kerjasama baharu termasuk dalam konteks pertahanan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Malaysia menghargai komitmen dan persetujuan Thailand untuk terus membawa hubungan pertahanan antara kedua-dua negara ke tahap lebih tinggi termasuk melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pertahanan.
"Malaysia mengakui bahawa platform seperti Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Malaysia-Thailand yang memasuki edisi ke-56 adalah usaha yang baik dalam pengukuhan kerjasama berkaitan keselamatan sempadan, operasi bersama serta inisiatif pembangunan sosioekonomi dan pengurusan bencana.
"Malaysia dan Thailand mempunyai hubungan diplomatik yang baik, sama ada secara dua hala mahupun melalui platform seperti ASEAN," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, Mohamed Khaled tiba di Bangkok untuk lawatan kerja rasmi tiga hari bagi memperkukuhkan kerjasama persempadanan kedua-dua negara.
Sempena lawatan kerja rasminya ke Thailand, Mohamed Khaled mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Thailand Phumtham Wechayachai di Kementerian Pertahanan Thailand.
Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia mengalu-alukan kerjasama lebih erat bersama Angkatan Tentera Diraja Thailand dan berharap mereka dapat memanfaatkan Program Kerjasama Pertahanan Malaysia (MDCP) dalam usaha pembangunan kapasiti dan mempertingkat diplomasi pertahanan Malaysia-Thailand.
Pada lawatan berkenaan, Mohamed Khaled turut memanjangkan jemputan kepada Phumtham ke Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LlMA '25) dan dua acara sempena peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, iaitu Pemukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan Mesyuarat ADMM.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini memaklumkan agenda utama lawatan itu adalah Mesyuarat GBC Malaysia-Thailand (MALTHAI) ke-56 yang berlangsung hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan jawatankuasa berkenaan ditubuhkan berikutan termeterainya Perjanjian Persempadanan Am pada tahun 1964, dan berfungsi sebagai platform utama dalam menguruskan kerjasama persempadanan antara kedua-dua negara.
"Tiga jawatankuasa utama yang beroperasi di bawah struktur GBC ialah Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC), Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) dan Jawatankuasa Latihan Gabungan Bersama Thailand-Malaysia (THAMAL JCEC).
"Semasa mesyuarat GBC MALTHAI, kedua-dua menteri berpuas hati dengan kemajuan yang dicapai oleh jawatankuasa di bawah kerangka GBC, termasuk memperkukuh kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Tentera Diraja Thailand dalam menangani cabaran keselamatan sempadan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA