Malaysia tewas tipis 2-3 dengan Bahrain
Bernama
Ogos 20, 2018 07:58 MYT
Ogos 20, 2018 07:58 MYT
Malaysia tewas tipis 2-3 di tangan Bahrain pada perlawanan terakhir Kumpulan E, acara bola sepak Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang berlangsung di Stadium Wibawa Mukti, di sini malam ini.
Keputusan malam ini tidak menjejaskan peluang skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara bimbingan Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee untuk layak ke pusingan kalah mati seterusnya selepas menjuarai Kumpulan E dengan mengumpul enam mata selepas meraih kemenangan dalam dua aksi terdahulu termasuk mengejutkan juara bertahan, Korea Selatan 2-1 pada Jumaat lepas.
Pada aksi malam ini, lapan pertukaran yang di buat dalam kesebelasan utama ketika menewaskan Korea Selatan ternyata sedikit menjejaskan rentak skuad negara apabila pasukan lawan mudah menembusi benteng pertahanan seawal 10 minit pertama.
Bagaimanapun, kegoyahan itu berjaya diatasi sebelum pemain sayap Muhammad Syahmi Safari meledak gol pembukaan pada minit ke-20 menerusi tendangan voli dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol, Ammar Ahmed.
Penyerang muda Pahang, R.Kogileswaran berpeluang menjadikan kedudukan 2-0, namun percubaannya pada minit ke-22 diselamatkan di atas garisan gol oleh pertahanan lawan, Hasan Alkarrani.
Bahrain yang tewas dan seri dalam dua aksi pertama kumpulan kemudian berjaya bangkit menghukum kealpaan pertahanan negara untuk menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit hasil jaringan kapten, Mohamed Hardan pada minit ke-33 dan Hamad Alshamsan (minit ke-37) untuk mendahului 2-1 sehingga rehat.
Babak kedua menyaksikan Bahrain lebih menguasai permainan dengan serangan bertali arus dalam usaha memburu slot ke peringkat seterusnya dengan dua percubaan terkena palang sebelum Mohamed menjaringkan gol ketiga pada minit ke-89.
Seakan perlawanan berakhir dengan keputusan 1-3 berpihak kepada Bahrain, Malaysia berjaya mengurangkan defisit jarigan dengan gol kedua hasil sepakan penalti yang disempurnakan pemain gantian, Muhammad Safawi Rasid.
Mengiringi Malaysia ke peringkat seterusnya adalah Korea Selatan yang menamatkan saingan Kumpulan E di tempat kedua selepas turut merakam kemenangan tipis 1-0 ke atas Kyrgyzstan dalam satu lagi aksi.
Menanti Malaysia di peringkat seterusnya Jumaat ini adalah naib juara Kumpulan D, Jepun.
-- BERNAMA