Malaysia tetap pendirian tidak terima penyertaan atlet Israel - Syed Saddiq
Fareez Azman
Januari 13, 2019 13:20 MYT
Januari 13, 2019 13:20 MYT
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kekal dengan pendirian perdana menteri tidak akan menerima penyertaan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang berlangsung dari 29 Julai hingga 4 Ogos depan.
Menurut menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pihaknya menerusi Menteri Sukan Sarawak akan mengutuskan surat kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) berhubung perkara itu.
“Perkara ini dibincangkan jemaah menteri dan jelas perdana menteri tidak terima penyertaan atlet Israel.
"Surat rasmi menjawab pertanyaan Menteri Sukan Sarawak akan dijawab. Kita akan maklumkan kepada pihak IPC,” jelasnya.
Isu penyertaan atlet Israel dalam kejohanan itu menjadi kecoh apabila Jawatankuasa Olimpik Israel membuat bantahan dan terus memberi tekanan kepada penganjur agar atlet mereka diberikan visa.
Ia memandangkan kejohanan itu penting bagi kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Syed Saddiq berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Sambutan Hari OKU 2018 anjuran Majlis Paralimpik Malaysia di sini pada Ahad.
#atlet
#IPC
#Israel
#Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa
#Kejohanan Renang Para Dunia
#Kementerian Belia dan Sukan
#Menteri Sukan Sarawak
#Syed Saddiq Syed Abdul Rahman