Malaysia teruskan usaha selesai pergolakan di Syria - Ahmad Zahid

Bernama
Oktober 16, 2016 12:52 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika diberi peluang memasuki Kaabah pada lawatan rasmi ke Arab Saudi di Masjidil Haram hari ini, 16 Oktober, 2016. - fotoBERNAMA
Malaysia akan meneruskan usaha bagi memastikan pergolakan di Syria, yang sudah berlanjutan lebih lima tahun, dapat diselesaikan secepat mungkin, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata seperti negara Islam lain, Malaysia prihatin terhadap konflik di Syria terutamanya yang melibatkan insiden pengeboman di Aleppo.
Beliau berkata walaupun Amerika Syarikat dan Rusia masih berusaha melakukan rundingan untuk menyelesaikan konflik di Syria, kedua-dua negara kuasa besar itu tidak yakin gencatan senjata dapat dicapai dalam tempoh terdekat.
"Namun begitu, Malaysia tetap berusaha mencari titik pertemuan dan penyelesaian agar rakyat Syria dapat menikmati kemakmuran semula," katanya kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir lawatan rasmi lima hari beliau ke Arab Saudi pada Ahad.
Walaupun kerajaan Syria ditentang pembangkang, katanya, Malaysia berpendapat permasalahan itu perlu diselesaikan segera.
Menurutnya usaha mencari penyelesaian segera itu adalah selaras dengan pendirian yang diketengahkan Malaysia pada mesyuarat khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini.
"Kita merasakan masalah di Syria perlu dimuktamad segera. Malaysia akan terus suarakan pandangan agar konflik di negara berkenaan dapat diselesaikan," kata beliau.
Mengenai pembangunan masyarakat Islam sejagat, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Malaysia akan terus memberi bantuan dan sumbangan termasuk isu pelarian Syria.
"Malaysia tetap dengan pendirian untuk membawa masuk 3,000 pelarian Syria yang kini berlindung di beberapa negara," katanya.
Setakat ini, Malaysia telah membawa masuk 167 pelarian Syria yang ditempatkan di sekitar Lembah Klang. Selain diberi penempatan, mereka juga mendapat kemudahan lain termasuk pendidikan dan peluang pekerjaan.
Ahmad Zahid berkata dalam kalangan pelarian terbabit, kebanyakan mereka adalah profesional dan tenaga mahir yang kepakaran mereka dapat dimanfaatkan.
"Tahun depan, saya akan ke Lubnan dan Jordan untuk membincangkan usaha membawa masuk baki pelarian Syria yang dibenarkan oleh Malaysia. Malah, saya akan berbincang dengan kerajaan Turki untuk membawa pelarian Syria yang berlindung di negara itu," katanya.
Beliau berkata usaha membantu pelarian Syria itu membabitkan 17 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk yang memberi khidmat kaunseling.
Mengenai hasil lawatannya ke Arab Saudi, timbalan perdana menteri menyifatkan ia berjaya dan mengucapkan terima kasih kepada Raja Salman Bin Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota Mohammad Bin Naif Al-Saud.
"Malaysia dapat mempelajari beberapa pendekatan terutama dalam soal program deradikalisasi, penempatan pendatang asing tanpa izin, dan berkongsi pengalaman dan pengetahuan di Institut Kepimpinan dan Keusahawanan di Madinah.
"Saya menjunjung kasih atas layanan yang diberikan oleh Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Mohamed Naif Abdulaziz Al Saud, terutamanya kebenaran untuk memasuki Kaabah," katanya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid juga melawat Masjid Nabawi dan mengadakan pertemuan dengan wakil Bandar Pengetahuan Ekonomi Madinah serta Institut Kepimpinan dan Keusahawanan Madinah.
Dalam lawatannya juga, timbalan perdana menteri mengadakan pertemuan dengan komuniti Malaysia di Riyadh serta Madinah serta menunaikan umrah di Makkah.
Ahmad Zahid diiringi isteri Datin Seri Hamidah Khamis. Turut serta dalam delegasinya ialah Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia. -- BERNAMA
#Aleppo #Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi #gencatan senjata #pengeboman #pergolakan di Syria