Malaysia teruskan sekatan perjalanan untuk 3 wilayah China dan negara terjejas COVID-19

Astro Awani
Mac 13, 2020 21:26 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,rakyat dinasihatkan tidak melakukan perjalanan ke negara-negara yang terjejas dengan virus COVID-19. FOTO: PMO
Kerajaan akan meneruskan sekatan perjalanan untuk tiga wilayah di China iaitu Hubei, Jiangsu dan Zhejiang, selain Hokkaido, Jepun; Itali; Iran dan Republik Korea.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat Malaysia dinasihatkan tidak melakukan perjalanan ke negara-negara yang terjejas dengan COVID-19.
"Di samping itu, kapal-kapal persiaran hanya dibenarkan berlabuh untuk penambahan bekalan. Hanya kru warganegara Malaysia dibenarkan turun dari kapal dan mereka dikehendaki melalui saringan kesihatan," katanya semasa menyampaikan perutusan khas berkaitan COVID-19 yang disiarkan secara langsung pada Jumaat malam.
Selain itu, kerajaan amat prihatin dengan nasib rakyat Malaysia yang berada di negara-negara yang terjejas teruk dengan wabak COVID-19 seperti di China, Iran, Itali dan Korea Selatan.
"Sehingga kini, kerajaan telah membawa pulang seramai 107 orang rakyat Malaysia dari sebahagian
negara-negara ini.
"Seramai 65 orang rakyat Malaysia yang berada di Iran dan 323 orang yang berada di Itali sedang dalam proses untuk dibawa pulang," tambahnya.
#COVID19 #kerajaan #kesihatan #Malaysia #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #rakyat Malaysia
;