Malaysia terus usaha promosi tamadun Melayu kepada dunia - Saifuddin
Ridauddin Daud
Jun 27, 2022 14:17 MYT
Jun 27, 2022 14:17 MYT
PUTRAJAYA: Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri akan terus berusaha mempromosi dan berkongsi kekayaan tamadun Melayu kepada dunia luar.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, usaha tersebut sudah bermula dari tahun 2018 dan diteruskan pada tahun ini dengan memberi penekanan terhadap diplomasi budaya.
Berucap ketika merasmikan Persidangan Inaugural Global Malaysian Studies Network (GMSN) di sini pada Isnin, Saifuddin menegaskan beliau mahu alam Melayu dikenali di serata dunia, sama dengan alam dan tamadun lain yang sudah berkembang di banyak negara.
“Kerja-kerja dasar luar sama ada namanya diplomasi budaya dan sebagainya, tidak akan dapat dilaksanakan andainya kita tiada kandungan yang baik.
“Kami di Kementerian Luar hanya menjadi juru bicara bagi negara. Kerana itu, dasar luar sebenarnya bermula di laman sendiri.
“Sebab itu saya menganggap seminar dan persidangan ini sangat-sangat penting, khusus dari segi kandungan bagi diplomasi budaya yang ingin kita realisasikan,” katanya dalam ucapan tersebut.
Tambah beliau, kerajaan berharap golongan cerdik pandai dalam negara dapat membantu perkenalkan Malaysia melalui diplomasi akademik, hasil kajian dan bukti empirikal bagi memberi gambaran lebih tepat mengenai Malaysia.
“Lebih penting daripada itu, penglibatan sarjana luar negara yang berminat dengan Kajian Malaysia, tidak langsung akan bantu usaha diplomasi kita dapat dilaksanakan dengan secara holistik.
“Kami di Kementerian Luar Negeri dan kementerian lain mempunyai pendekatan dan pelbagai aktiviti dari segi mempromosi Malaysia tapi dapat mempromosikannya secara tertentu sahaja.
“Tapi sekiranya ada sarjana dari England sebagai contoh, yang pakar berkaitan Malaysia, bahasa, budayanya dan kemudian bercakap berkaitan Malaysia bagi pihak kita di England, itu sangat membantu sebenarnya,” ujarnya lagi.