Malaysia terus pantau keadaan di Lebanon - Hishammuddin

Bernama
November 14, 2017 22:41 MYT
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata setakat ini tidak ada perkara-perkara yang membimbangkan atau insiden-insiden yang meragukan menimpa rakyat Malaysia di sana.
Malaysia akan terus memantau perkembangan di Lebanon berikutan keputusan Perdana Menteri Lebanon, Saad Hariri mengumumkan peletakan jawatannya ketika melawat Riyadh awal bulan ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata setakat ini tidak ada perkara-perkara yang membimbangkan atau insiden-insiden yang meragukan menimpa rakyat Malaysia di sana.
"Di Lebanon, memang saya beri perhatian lebih daripada apa yang menular di Yemen dan Qatar kerana di sana kita ada anggota Malbatt 850-5 (pasukan pengaman Batalion Malaysia)," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis sambutan Deepavali peringkat Tentera Darat dan pelancaran Pakej Istimewa Panggilan dan Data (Pakej TigaTiga) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Bhd Michael Kuehner.
Kira-kira 1,000 warga Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan veteran ATM memeriahkan sambutan Deepavali peringkat Tentera Darat.
Hishammuddin berkata sejurus perletakan jawatan oleh Hariri pada 4 Nov lepas, Raja Mohamed Affandi telah menghubungi kepimpinan Lebanon bagi mendapatkan maklumat berkenaan keadaan di sana.
Seramai 850 anggota tentera termasuk 30 orang dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan seorang kakitangan Kementerian Pertahanan (Mindef) berada di Lebanon kerana menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu selama setahun.
Dalam perkembangan lain, kerajaan Arab Saudi dan Kuwait telah menggesa warganya meninggalkan Lebanon dengan segera.
Pada 4 Nov, Hariri secara tiba-tiba mengumumkan perletakan jawatanya dengan membaca satu kenyataan secara langsung melalui televisyen dari Riyadh, ibu negara Arab Saudi, dengan mendakwa beliau mengundur diri berikutan pengaruh kebangkitan Iran di negaranya yang membuatkan beliau khuatir akan mengalami nasib sama dengan bapanya, Rafik Hariri, yang telah dibunuh pada 2005.
Pengumuman mengejut itu membangkitkan kebimbangan yang Lebanon - berpecah kepada kem diketuai oleh Hariri dan pergerakan Hizbullah yang disokong oleh Iran - mungkin membawa kepada keganasan.
Sementara itu, Hishammuddin memuji langkah Celcom yang menawarkan tiga pelan khas untuk warga Mindef dan veteran ATM.
"Kerjasama dengan Celcom amat bermakna sekali kerana buat pertama kali sektor swasta bersama-sama dengan kita dan ini ada kaitan rapat dengan teras kebajikan veteran dan anggota.
"Pakej ini dijangka memberi impak besar dalam jangka masa panjang terutamanya dalam mengurangkan kos perbelanjaan warga Mindef termasuk veteran ATM," katanya.
Beliau turut berharap lebih banyak syarikat swasta yang akan tampil ke hadapan dan membantu warga Mindef.-- BERNAMA
#Angkatan Tentera Malaysia #Hishammuddin Hussein #lebanon
;