Malaysia terus diasak ketika perang melawan COVID-19
Hisyam Basabah
Mei 6, 2020 09:00 MYT
Mei 6, 2020 09:00 MYT
MALAYSIA, sebuah negara kecil yang terletak di jantung perdagangan timur dan barat dunia berhadapan dengan cabaran yang amat hebat akhir-akhir ini.
Ancaman yang mampu menganggu gugat kelangsungan kedaulatan bertembung dengan krisis kesihatan yang begitu menakutkan mampu meletakkan negara ini dalam bahaya.
Sesiapa sahaja pemimpin yang dilantik ke jawatan nombor satu eksekutif negara pasti tidak mengidamkan keadaan sedemikian rupa, namun itulah yang harus dan perlu dihadapi oleh seorang yang bernama Muhyiddin Yassin.
Sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru sahaja dilantik, beliau terpaksa berhadapan dengan krisis yang benar-benar menguji kepimpinan beliau sebagai orang nombor satu pentadbiran negara.
Ancaman domestik dan luar terhadap kepimpinan beliau sekali gus kepada negara benar-benar menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri yang paling “tertekan” ketika mengambil alih jawatan Perdana Menteri setelah dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong.
Krisis kesihatan yang melanda negara dengan pandemik COVID-19, ketidaktentuan politik negara, ancaman pendatang asing tanpa izin serta kelembapan ekonomi negara adalah ancaman domestik yang perlu ditangani oleh beliau bersama menteri kabinet.
Ancaman luar negara yang mampu menganggu gugat kedaulatan dan kelangsungan negara dijelmakan oleh China sejak akhir-akhir ini apabila mereka kembali melakukan kekacauan di Laut China Selatan sekaligus melanggar wilayah kelautan Malaysia.
Bukan Malaysia sahaja yang terpaksa berhadapan dengan kebiadaban China, negara-negara ASEAN lain seperti Vietnam, Filipina, Brunei dan Indonesia juga terpaksa berhadapan dengan pembulian yang dilakukan oleh China.
China telah menuntut hampir 80% wilayah kelautan di Laut China Selatan sebagai sebahagian wilayah mereka sekalipun tuntutan ini langsung tidak mempunyai asas yang munasabah.
Hal ini didasari oleh cita-cita China untuk menjadi sebuah kuasa besar antarabangsa dengan menguasai laluan strategik antarabangsa seperti di Laut China Selatan.
Tuntutan China di wilayah Laut China Selatan sebagai miliknya berdasarkan fakta sejarah aktiviti nelayan tradisional China yang menangkap ikan di Laut China Selatan.
Walau bagaimanapun, tuntutan dan hujah ini tidak diterima dan tuntutan China terhadap 80% Laut China Selatan milik mereka telah terbatal dan tidak sah melalui keputusan Tribunal Timbang Tara Tetap (PCA) di The Hague, Belanda.
PCA yang telah diusahakan oleh Filipina ini telah diadakan pada tahun 2016. Ironinya, sekalipun keputusan telah diputuskan, China masih tidak mengendahkan keputusan PCA tersebut malahan terus melakukan tindakan-tindakan provokatif di Laut China Selatan kerana merasakan bahawa sebagai sebuah kuasa besar rantau Asia Pasifik dan dunia, mereka adalah kuasa yang tidak mampu dicabar oleh mana-mana negara khususnya dari rantau Asia Tenggara.
Maka ini adalah suatu ancaman dan cabaran kepada Malaysia dalam mempertahankan kedaulatannya daripada dicabul oleh kuasa asing.
Ancaman seperti ini juga secara tidak langsung menarik kuasa asing lain seperti Amerika Syarikat untuk hadir ke rantau ini bagi mempertahankan kepentingannya daripada digugat oleh China.
Amerika Syarikat sudah pasti tidak akan membiarkan China bertindak sesuka hati mereka, apatah lagi rantau Asia Tenggara ini adalah rantau yang cukup signifikan kepada Amerika Syarikat semenjak dahulu seperti mana kejayaan menghalang pengaruh kominis daripada bertapak di rantau ini.
Malaysia sudah pasti tidak mahu kedua-dua kuasa besar ini berkelahi di “halaman rumah”, kerana sudah pasti yang akan mendapat kesan negatif adalah tuan rumah itu sendiri.
Di sini letaknya kebijaksanaan yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri dalam mengimbangi ancaman yang amat berbahaya kepada kedaulatan negara ini.
Malaysia benar-benar diasak dengan ancaman keselamatan luar dan dalam. Kementerian-kementerian strategik pada ketika ini sedang bertungkus-lumus mengendalikan masalah-masalah keselamatan ini.
Keselamatan kesihatan berhubung pandemik COVID-19 setakat ini dapat diuruskan dengan cemerlang oleh Kementerian Kesihatan, sekalipun harga yang cukup mahal terpaksa dibayar oleh negara apabila melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) ini.
PKP menyebabkan ekonomi negara berada di dalam keadaan yang agak tertekan kerana operasi perniagaan, perdagangan dan perkhidmatan yang selama ini menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara tidak dapat dijalankan.
Walau bagaimanapun, ia terpaksa dilakukan oleh negara kerana keselamatan kesihatan terhadap rakyat adalah perkara yang perlu didahulukan.
Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan yang termasuk di dalam Kluster Keselamatan juga tidak menang tangan dalam berhadapan dengan ancaman pelarian dan warga asing yang berada di negara ini mahupun yang cuba menyelinap masuk ke negara ini.
Sejak akhir-akhir ini, isu berkaitan pelarian Rohingya semakin mencuri perhatian masyarakat dan sentimen kebencian terhadap etnik ini semakin membahang.
Hal ini disebabkan oleh kekhuatiran masyarakat berhubung kemungkinan kemasukkan pelarian ini akan menyebabkan penularan pelbagai wabak penyakit selain kadar jenayah yang semakin tinggi.
Kedegilan dan ketidakpatuhan warga asing yang telah berada di negara ini ketika PKP juga adalah penyebab kepada sentimen kebencian oleh masyarakat Malaysia terhadap warga asing ini.
Dikhuatiri, sentimen ini akan bertukar kepada tindakan radikal oleh sebahagian masyarakat Malaysia yang telah hilang sabar tehadap warga asing ini.
Maka pihak kerajaan perlu melaksanakan suatu tindakan efektif bagi menangani perkara ini, supaya keadaan kekal stabil, apatah lagi kita masih belum menang dalam peperangan menentang COVID-19 ini.
Kementerian Pertahanan juga perlu bersiap siaga terhadap segala kemungkinan yang berlaku di wilayah kelautan Malaysia di Laut China Selatan.
Walau bagaimanapun, rakyat menaruh keyakinan yang cukup tinggi terhadap kepimpinan YAB Perdana Menteri melalui Kementerian Luar Negeri terlebih dahulu, apatah lagi Malaysia mempunyai kemahiran diplomasi yang cukup tinggi dalam menangani sebarang krisis yang melibatkan negara lain.
Dasar “hedging” yang diaplikasikan oleh negara sekian lama membuahkan hasil yang cukup lumayan dalam menjaga kedaulatan dan kepentingan negara di arena antarabangsa, dan ia terus ditagih dalam mendepani ancaman kedaulatan yang dibangkitkan oleh China.
Platform ASEAN perlu digunakan dengan semaksima mungkin oleh Malaysia bagi menekan kerajaan Myanmar supaya bertanggungjawab terhadap pelarian Rohingya ini.
Suara-suara yang mahukan Myanmar disingkirkan dari ASEAN hanya akan menyebabkan ketiadaan platform multilateral negara-negara ASEAN bersama Myanmar, dan kemungkinan mereka akan lebih tidak bertanggungjawab terhadap pelarian Rohingya, sekaligus merugikan Malaysia dan ASEAN yang terkesan teruk dengan isu pelarian Rohingya yang semakin membebankan ini.
Kerjasama ASEAN juga amat perlu dalam menangani pencerobohan dan kebiadaban China di wilayah Laut China Selatan. Mungkin kesepakatan negara-negara anggota ASEAN menggunakan tekanan diplomatik terhadap China akan membuahkan hasil.
Mungkin juga sudah tiba masanya nama Laut China Selatan ini ditukar kepada Laut Asia Tenggara bagi menyingkirkan sentimen kepunyaan China terhadap rantau ini. Ia perlu bagi meningkatkan identiti rantau Asia Tenggara terhadap wilayah miliknya.
Isu keselamatan negara ini berjalan seiring dengan isu kesihatan dan hak asasi manusia.
Kebijaksanaan luar biasa perlu dilakukan oleh Malaysia bersama-sama dengan rakyat, agar Malaysia kembali makmur seperti sedia kala. COVID-19, pendatang asing, pelarian, ancaman China di Laut China Selatan adalah “pertempuran-pertempuran” di dalam peperangan mempertahankan kemakmuran Malaysia.
Tugas dan tanggungjawab ini tidak seharusnya dipikul oleh pihak kerajaan semata-mata, namun ia memerlukan keazaman dan usaha yang cukup ampuh oleh sekalian pemegang kad pengenalan biru yang mengaku sebagai warganegara Malaysia.
Kekal tenang, tidak termakan dengan provokasi, tegas dan bijaksana serta kekal duduk di rumah adalah kunci kepada kemenangan negara berhadapan dengan peperangan mengekalkan kemakmuran Malaysia yang kita cintai ini.
Buat jentera pentadbiran kerajaan dan petugas barisan hadapan negara, semoga anda terus dikurniakan kekuatan dan hidayah, kami terhutang budi dan sentiasa menyokong anda!
Kita perlu menang peperangan ini!
* Hisyam Basabah merupakan penulis bebas dan penganalisis sosial.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Amerika Syarikat
#China
#COVID-19
#ekonomi
#Hisyam Basabah
#Kolumnis AWANI
#kuasa besar
#Malaysia
#pandemik
#politik