Malaysia terus beri sokongan kepada Palestin - Muhyiddin
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 12, 2014 07:59 MYT
Ogos 12, 2014 07:59 MYT
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia sejak sekian lama telah menyatakan pendirian jelas mengutuk segala bentuk kezaliman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
Malah, Malaysia juga akan terus memberi sokongan padu serta menyalurkan bantuan dan pertolongan kepada rakyat Palestin di Gaza.
Perkara itu dizahirkan menerusi pelbagai inisiatif yang telah diambil untuk terus membantu rakyat Palestin termasuk mengumpul dana dan sumbangan sehingga hari ini.
"Saya melihat semangat rakyat Malaysia adalah amat tinggi. Banyak langkah dibuat untuk mengumpul dana, dapatkan bantuan-bantuan yang dijalankan sepanjang masa dan tidak terhenti sampailah ke hari ini.
"Ini menunjukkan komitmen kita adalah amat tinggi kerana kita hendak menunjukkan kepada dunia walaupun Malaysia sebuah negara kecil, tetapi kita mempunyai semangat juang yang tinggi.
“Kita amat menilai tentang perjuangan pemimpin dan rakyat Palestin selama ini untuk membebaskan diri mereka daripada cengkaman zionis Israel ini,” ujarnya.
Muhyiddin berkata demikian semasa berucap ketika menyempurnakan Majlis Pelepasan Kumpulan Sukarelawan Misi Bantuan Kemanusiaan Biro Kebajikan Umno/Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) ke Palestin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa.
Turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden KP1M, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Duta Mesir ke Malaysia, Salleh Mohi Eldin El Wassimy dan Duta Palestin ke Malaysia, Dr Anwar Al-Agha.
Pada masa sama, Muhyiddin turut melahirkan penghargaan kepada kedutaan Palestin dan Mesir yang memudahkan perjalanan KP1M.
Misi kemanusiaan KP1M membawa 40 tan bekalan makanan dan ubat-ubatan bagi membantu rakyat Palestin yang dihimpit kekejaman rejim Zionis.
Misi kemanusiaan yang disertai 71 sukarelawan termasuk pakar perubatan dan pengamal media dijangka pulang ke Malaysia pada 21 Ogos.