Malaysia terima ubat antiviral COVID-19 pada April atau Mei ini

Afiezy Azaman
Februari 22, 2022 09:49 MYT
Dr Wan Ahmad Hazim berkata garis panduan telah dirangka bagi pemberian ubat antiviral COVID-19 di fasiliti kerajaan. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia akan menerima ubat antiviral COVID-19 pada bulan April atau Mei tahun ini untuk membantu negara memerangi pandemik itu.
Menurut Timbalan Ketua Perkhidmatan Obstetrik & Ginekologi (O&G) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Wan Ahmad Hazim Wan Ghazali, garis panduan telah dirangka bagi pemberian ubat antiviral COVID-19 di fasiliti kerajaan.
"Pemberian ubat antiviral COVID-19 ini adalah berdasarkan kepada 'system scoring' atau pemarkahan risiko iaitu jika mereka mempunyai risiko lebih daripada kategori 3, mereka akan diberikan ubat tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual Astro AWANI dalam Program AWANI Pagi bertajuk "Ibu hamil dan dos penggalak", pada Selasa.
Mengulas lanjut, Dr Wan Ahmad Hazim yang juga Pakar Perunding Kanan, Ketua Jabatan O&G Hospital Putrajaya berkata, bagi ibu hamil atau menyusukan anak, ubat antiviral COVID-19 ini tidak dibenarkan dan tidak akan diberikan kepada mereka.
"Oleh yang demikian untuk ibu hamil, vaksin COVID-19 adalah satu-satunya cara untuk mereka menghadapi pandemik COVID-19 dan memastikan kelahiran anak mereka berakhir dengan kegembiraan untuk setiap pasangan," katanya.
Pada 3 Februari lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu, KKM sedang melakukan perolehan bagi mendapatkan ubat antiviral Paxlovid untuk kegunaan di Malaysia, khususnya golongan berisiko, rentan dan mempunyai komorbiditi.
AWANI Pagi: #COVID19 | Ibu hamil dan dos penggalak
#ubat antiviral COVID-19 #KKM #dos penggalak #Wan Ahmad Hazim Wan Ghazali
;