Malaysia terima penghargaan Singapura bantu rakyatnya keluar dari Sudan

Bernama
April 28, 2023 11:58 MYT
MFA juga mengesahkan 14 warga Singapura daripada dua keluarga dan seorang lagi ahli keluarga telah selamat dipindahkan dari Khartoum ke Jeddah, Arab Saudi. -Facebook SingaporeMFA
SINGAPURA: Singapura menyatakan 'penghargaan dan terima kasih setinggi-tingginya' kepada Malaysia, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu yang memudahkan kepulangan rakyatnya dengan selamat dari Khartoum, Sudan yang dilanda konflik.
Kementerian Luar (MFA) berkata sejak tercetusnya konflik di Sudan, ia telah memberikan bantuan konsular kepada rakyat Singapura di Sudan dan meneroka pilihan untuk memindahkan mereka.
"Kedutaan Singapura di Riyadh dan Abu Dhabi, serta Konsulat Jeneral Singapura di Jeddah bekerjasama rapat dengan kerajaan tuan rumah dan rakan kedutaan Malaysia untuk memudahkan keluarga Singapura memulakan perjalanan dari Khartoum ke Jeddah," kata jurucakap MFA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan. lewat Khamis.
MFA juga mengesahkan bahawa 14 warga Singapura daripada dua keluarga dan seorang lagi ahli keluarga telah selamat dipindahkan dari Khartoum ke Jeddah, Arab Saudi.
"Mereka dipindahkan bersama sekumpulan rakyat Malaysia dan warganegara lain dengan bantuan kerajaan Malaysia, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu," kata MFA.
Pada Khamis, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata 30 rakyat Malaysia yang diselamatkan dari Khartoum, dijadualkan pulang hari ini.
Bersama rakyat Malaysia itu ialah 22 rakyat negara lain iaitu 14 warga Singapura, enam warga Kemboja dan dua warga Amerika.
Lebih 400 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 3,500 lagi cedera akibat konflik bersenjata antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid support Forces (RSF) yang tercetus pada 15 April lalu.
-- BERNAMA
#Singapura #Pergolakan di Sudan #mfa #penghargaan kepada Malaysia
;