Malaysia terima laporan nahas MH17 dari Belanda - Liow

Bernama
Julai 10, 2015 22:38 MYT
LIOW: Malaysia telah menerima laporan hasil siasatan terhadap nahas udara pesawat MH17 dari pihak berkuasa Belanda. -Gambar fail
Malaysia telah menerima laporan hasil siasatan terhadap nahas udara pesawat MH17 dari pihak berkuasa Belanda, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata kerajaan memerlukan masa kira-kira 60 hari bagi meneliti laporan itu secara menyeluruh dan terperinci sebelum mengemukakan maklum balas kepada pihak berkuasa Belanda.
"Saya tidak mahu mengulas hasil siasatan berkenaan sebaliknya mahu meneliti terlebih dahulu laporan terbabit. Kerajaan Belanda memberikan tempoh 60 hari sebelum kita memberi maklum balas.
Laporan ini perlu diteliti dengan baik kerana kejadian ini bukan membabitkan Malaysia sahaja, dunia juga menunggu untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku terhadap MH17," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dan dialog dengan pemimpin-pemimpin MCA Kelantan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Liow berkata walaupun ada cubaan oleh Rusia untuk menyekat tribunal yang dibawa oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mendakwa mereka yang mendalangi kejadian itu, Malaysia akan mengambil langkah sewajarnya bagi mencari kebenaran tentang kejadian itu.
"Menerusi bantuan PBB, kami akan melakukan apa sahaja bagi mendapatkan keadilan untuk keluarga mangsa dan pampasan yang perlu dibayar," katanya.
Pesawat malang MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 43 rakyat Malaysia sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di timur Ukraine setelah dipercayai ditembak jatuh di ruang udara negara yang bergolak itu pada 17 Julai tahun lepas.
#Belanda. #laporan hasil siasatan #Liow Tiong Lai #MH17 #nahas udara #pesawat
;