Malaysia terbaik tangani kadar jenayah berulang dalam kalangan bekas banduan

Raffi Bachik
Mac 26, 2018 08:38 MYT
Sentiasa ada peluang kedua untuk banduan mengubah nasib hidup menerusi latihan dan bimbingan. - Gambar hiasan
Malaysia mencatat kadar jenayah berulang terendah berbanding negara-negara ASEAN lain.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejayaan memulihkan banduan tanpa mengulangi semula perbuatan jenayah selepas dibebaskan dari penjara mendapat pengiktirafan pakar-pakar antarabangsa.
“Buku terbaru Prof. Chang Kim dan Prof Renée Mauborgne dari Amerika Syarikat (AS) iaitu Blue Ocean Shift mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang terbaik di dunia dan buku itu adalah best seller dan nama Malaysia ada di situ,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Polis Negeri, Datuk Abd Jalil Hassan.
Pada sidang media selepas itu, Ahmad Zahid menegaskan salah satu kejayaan berkenaan adalah hasil keberkesanan pelaksanaan sistem parol oleh Jabatan Penjara Malaysia.
Jelasnya, hanya 0.4 peratus daripada 17,500 banduan yang dibebaskan secara parol sejak 2008 terlibat dengan pengulangan jenayah di seluruh negara.
“Bagi mengurangkan kadar itu kepada kadar yang lebih rendah, antara usahanya adalah kita memperuntukkan apa yang dipanggil sebagai propgram parol.
“Program parol ini kita lakukan setelah mengambil beberapa langkah bagi melatih banduan yang mempunyai baki hukuman tetapi menjalani hukuman di luar penjara,” ujar beliau.
#Ahmad Zahid Hamidi #banduan #bimbingan #Hukuman #kadar jenayah #latihan #parol #penjara' #Program