Malaysia tentang percubaan tidak berperlembagaan menggugat kehendak rakyat - Najib

Bernama
Julai 16, 2016 23:14 MYT
NAJIB: Turki dan Malaysia adalah rakan akrab dalam perjuangan menentang terorisme dan ekstremisme.
Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menegaskan pendirian Malaysia menentang sebarang percubaan tidak berperlembagaan untuk menggugat kehendak rakyat sebagaimana dilahirkan menerusi peti undi.
Sambil mengutuk percubaan rampasan kuasa tentera di Turki pada Jumaat, Perdana Menteri berkata tindakan sedemikian dalam apa jua bentuk sekalipun tidak harus dibenarkan sama sekali kerana proses demokrasi adalah asas kebebasan, keselamatan dan kemakmuran sesebuah negara.
"Turki dan Malaysia adalah rakan akrab dalam perjuangan menentang terorisme dan ekstremisme.
"Kami adalah rakan dagang dan negara rakan dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
"Kami tegak bersama menentang percubaan tidak berperlembagaan untuk menggugat kehendak rakyat, sebagaimana dilahirkan menerusi peti undi.
"Rampasan kuasa dalam apa jua bentuk tidak wajar dibenarkan sama sekali," katanya dalam laman rasmi Facebooknya hari ini.
Najib berharap kestabilan dan ketenteraman wujud kembali di Turki secepat mungkin, dan menyambut baik berita bahawa Presiden Recep Tayyip Erdogan telah mengisytiharkan bahawa percubaan rampasan kuasa itu telah berakhir.
"Adalah amat membimbangkan banyak nyawa terkorban dan ramai cedera. Ingatan dan doa kami bersama rakyat Turki," kata Najib.
Media antarabangsa melaporkan jumlah kematian dalam percubaan rampasan kuasa itu meningkat kepada 90, 1,154 cedera, dan sejumlah 1,563 pegawai tentera telah ditahan dari seluruh Turki.
Menurut Wisma Putra, sejumlah 260 rakyat Malaysia, termasuk 180 pelajar di sana dilaporkan selamat.
#cabar perlembagaan #demokrasi #Najib Razak #rampasan kuasa #Turki
;