Malaysia teguh kerana sifat tolak ansur, muliakan satu sama lain - PM Anwar

Faida Rahim
November 23, 2024 13:50 MYT
Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membaca ikrar pada perasmian Program 2TM dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia kekal teguh sehingga kini kerana wujudnya sikap ansur dan memuliakan antara satu sama lain.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan MADANI menekankan soal ihsan, kemanusiaan, nilai dan akhlak dalam memastikan keharmoniaan di negara ini terus kekal.
"Kita berbeda dari segi kaum, dari segi bahasa, dari segi agama, dari segi budaya, dari segi warna kulit, tapi kita ada kekuatan kerana kita terima kenyataan tentang Qaramah Insaniah itu sendiri. Maknanya mengangkat martabat manusia," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi townhall pada majlis perasmian program dua tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Refomasi Perkhidmatan Awam 2024, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Sabtu.
Tambah beliau, sekiranya wujud perbezaan, ia harus dirunding secara baik kerana sesiapa sahaja boleh menghasut sentimen kaum yang boleh memporak perandakan perpaduan.
Turut hadir pada sesi townhall itu Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.
"Pemahaman itu perlu, dengar, teliti. Jangan mempermainkan isu isu yang mungkin merosakkan. Sebab itu saya puji tindakan badan penguatkuasaan, sama ada PDRM, SPRM, LHDN tak boleh amalan-amalan terdahulu," katanya.
#Anwar Ibrahim #Kerajaan Madani #2TM #ulang tahun kedua
;