Malaysia tak benarkan sebarang keganasan selesaikan konflik di selatan Thailand - PM

Astro Awani
Februari 9, 2023 20:28 MYT
PM Anwar, Prayut dan isteri Anwar, Dr Wan Azizah di pejabat Perdana Menteri, Rumah Kerajaan di Bangkok pada Khamis. - fotoBERNAMA
BANGKOK: Malaysia akan memanfaat hubungan baik sebagai jiran dan sahabat dalam usaha mewujudkan keamanan di selatan Thailand.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Malaysia menyatakan kebimbangan terhadap konflik di selatan Thailand, tetapi mengakui bahawa ia isu dalaman negara itu.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan Malaysia tidak membenarkan apa-apa pun jenis keganasan untuk menyelesaikan sebarang konflik di selatan Thailand.
"Tetapi menjadi kewajipan kita sebagai jiran dan keluarga yang baik untuk melakukan apa sahaja yang perlu untuk memudahkan proses itu.
"Itu sebabnya kami bersetuju untuk melantik fasilitator yang boleh diterima daripada seorang pesara ketua angkatan tentera kami (Bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin), yang dikenali oleh Perdana Menteri Thailand untuk bekerja dan mencari jalan membantu dan memberi bantuan.
"Saya secara peribadi dikenali oleh ramai rakan sekerja di selatan dan defisit kepercayaan, dan kebimbangan mengenai isu budaya agama akan ditangani.
"Perdana Menteri Thailand juga bersetuju bahawa kepentingan pembangunan hubungan dua hala bagi kedua-dua negara, sama ada sub-regional, akan diteruskan," katanya di sini, pada Rabu.
Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media bersama rakan sejawatnya, Jeneral Prayuth Chan o-cha di pejabat Perdana Menteri di Rumah Kerajaan pada Khamis.
Perdana Menteri menambah, malangnya pergaduhan kecil di selatan Thailand telah membawa kepada ketidakpercayaan serta kebencian.
"Kita (Malaysia-Thailand) perlu merayu kepada kedua-dua pasukan di selatan Thailand dan juga Malaysia untuk memahami bahawa keamanan adalah situasi yang paling penting dan kita akan faham kerana Malaysia adalah negara yang berbilang kaum dan agama
"Kita perlu memastikan dan menarik perhatian rakan-rakan kita, kedua-dua belah sempadan untuk menyelesaikannya (konflik).
"Saya tahu saya telah mengambil masa, walaupun dalam pertemuan peribadi dengan menteri-menteri, untuk terus mengulangi perkara ini, kerana saya ingin bermula dengan beberapa kepercayaan dalam diri kita untuk menyelesaikan masalah ini dengan persefahaman," kata Anwar.
Selain itu, Malaysia-Thailand kata Perdana Menteri akan turut meningkatkan kolaborasi dalam bidang keterjaminan makanan dan pendigitalan
Sementara itu, Prayut dalam ucapannya berkata Thailand dan Malaysia bersungguh-sungguh mewujudkan hubungan antara Zon Ekonomi Khas (SEZ) di Wilayah Sempadan Selatan Thailand dan negeri-negeri utara Malaysia.
Jelas beliau, ia bagi menggalakkan lagi pelaburan jangka panjang, pembangunan ekonomi serta sosial bagi penduduk di sempadan, serta meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.
Dalam masa sama, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk bekerja rapat dalam meningkatkan urusan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara.
Anwar tiba di Thailand untuk lawatan rasmi dua hari bagi meningkatkan hubungan dua hala dan mengukuhkan kerjasama pelbagai aspek antara Malaysia dan Thailand pada petang Rabu.
Ia merupakan lawatan rasmi sulung Anwar ke Thailand selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 atas jemputan Prayut.
#Anwar Ibrahim #Lawatan Anwar ke Thailand #konflik Selatan Thailand #Zon Ekonomi Khas Wilayah Sempadan Selatan Thailand
;