Malaysia sumbang RM1.5 juta bantuan kemanusiaan kepada Lubnan
Bernama
November 29, 2024 20:15 MYT
November 29, 2024 20:15 MYT
PUTRAJAYA: Malaysia menghulurkan sokongannya kepada Lubnan melalui sumbangan RM1.5 juta untuk bantuan kemanusiaan, menekankan solidariti berterusan negara dengan rakyat Lubnan dan usaha membina keamanan.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, cek itu diserahkan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Duta Besar Lubnan ke Malaysia George Bitar Ghanem dalam satu majlis di sini, Jumaat.
Sumbangan itu memenuhi janji Malaysia yang dibuat semasa pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati di sela-sela Sidang Kemuncak Tergempar Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi pada 11 Nov, menurut kementerian itu.
"Sumbangan ini adalah lambang solidariti berterusan Malaysia dengan rakyat Lubnan. Bantuan ini diharapkan dapat membantu dan mempercepatkan proses pemulihan kawasan yang terjejas akibat serangan Israel terutamanya ketika negara itu bakal memasuki musim sejuk.
"Malaysia kekal komited untuk menyumbang kepada inisiatif kemanusiaan antarabangsa dan menyokong usaha membina keamanan di zon konflik," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA