Malaysia sumbang 1 juta naskhah al-Quran ke seluruh dunia - PM

Afiezy Azaman
Ogos 6, 2023 09:15 MYT
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan secara maya bersama rakan sejawatannya dari Turki, Presiden Recep Tayyip Erdogan, pada Sabtu. Turut menemani Perdana Menteri ialah, Menteri Luar, Zambry Abd Kadir. - Gambar Facebook ANWAR IBRAHIM
KUALA LUMPUR: Malaysia akan menyumbang satu juta naskhah al-Quran ke seluruh dunia termasuk 15,000 naskhah dengan terjemahan dalam bahasa Sweden sebagai salah satu usaha untuk menangani kedangkalan pemahaman Barat terhadap Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen berkenaan semasa mengadakan pertemuan secara maya bersama rakan sejawatannya dari Turki, Presiden Recep Tayyip Erdogan, pada Sabtu.
"Saya juga menggunakan kesempatan ini untuk maklumkan kepada Presiden Erdogan terkait usaha Malaysia menentang Islamopobia (permusuhan dan benci ke atas Islam) iaitu tindakan membakar Al-Quran di Sweden.
"Saya mengecam sekerasnya tindakan tersebut yang berlindung di sebalik hak kebebasan bersuara yang diagungkan oleh Barat.
"Saya juga menyatakan pendirian tegas Kerajaan Perpaduan yang menolak sebarang unsur keganasan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam keganasan di negara ini," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Ahad.
Pertemuan bersama Erdogan itu turut ditemani Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Kadir.
Anwar berkata, beliau dan Erdogan turut berbincang terkait kerjasama pelaburan antara Malaysia-Turkiye.
"Saya turut mengulangi komitmen pelaburan Malaysia Airport Holding Bhd sebanyak £200 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGIA).
"Untuk itu, Batik Air telah terpilih sebagai operator untuk laluan KUL-ISG. Dijangka penerbangan Batik Air akan bermula pada Oktober 2023.
"Kami turut berbincang terkait kerjasama pertahanan di mana Agensi Industri Pertahanan Turkiye (SSB) telah menghantar delegasi yang besar untuk menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) baru-baru ini," katanya.
Perdana Menteri menzahirkan rasa kagum dengan kemajuan teknologi pertahanan Turki dan yakin Malaysia bakal mendapat manfaat besar hasil kerjasama erat antara Malaysia-Turki.
"Sayugia saya bersetuju secara prinsip untuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman dalam kerjasama pertahanan pada masa yang terdekat," katanya.
Untuk rekod, jumlah perdagangan dengan Turkiye pada tahun 2022 berjumlah AS$4.62 bilion (meningkat sebanyak 12.6%).
Jumlah lebihan dagangan sebanyak AS$3.33 bilion kerana Turkiye mengimport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, Erdogan turut sempat mendoakan kejayaan gabungan perpaduan dalam Pilihan Raya di 6 Negeri di Malaysia.
"Saya turut menyampaikan salam Azizah serta keluarga kepada Amina dan keluarga dan keinginan untuk bersua muka dalam kesempatan terdekat.
"Akhir sekali, saya turut sampaikan salam anak-anak pelajar Kolej Matrikulasi Pulau Pinang yang saya temui petang semalam dalam program Temu Anwar kepada Presiden Erdogan," jelasnya.
#PM Anwar Ibrahim #Recep Tayyip Erdogan #Malaysia sumbang 1 juta al-Quran #Islamopobia
;