Malaysia sudah sedia keluarkan kereta nasional ketiga - PM
Madiha Abdullah
November 1, 2018 18:55 MYT
November 1, 2018 18:55 MYT
Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad sekali lagi meluahkan keyakinan bahawa negara sudah bersedia untuk mengeluarkan kereta nasional ketiga, sekali gus menjadi pemain utama dalam industri automotif antarabangsa.
Projek kereta nasional ketiga itu kata Perdana Menteri, akan memaparkan strategi yang akan memacu negara ke arah Revolusi Perindustrian 4.0.
"Malaysia berada di landasan yang tepat untuk menyahut cabaran ini (menghasilkan kereta nasional ketiga), apatah lagi industri automotif akan menjadi penanda aras kemajuan.
"Kemampuan menguasai teknologi pembuatan dan automotif merupakan satu kemajuan dalam bidang pengetahuan inovasi dan kecekapan, yang telah diterapkan sejak negara mula menceburi bidang pembuatan kereta," kata Tun Mahathir.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penganugerahan Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) di ibu negara, hari ini.
Seramai 29 saintis, jurutera dan pakar teknologi terkemuka negara dipilih sebagai felo baharu ASM, yang dipilih dari lapan sektor antaranya IT, Matematik, Perubatan dan Sains Sosial.
#automotif
#kereta
#kereta nasional
#Mahathir Mohamad
#pembuatan
#Perdana Menteri
#PM
#Revolusi Perindustrian 4 0
#Sains