'Malaysia Street' untuk pasar produk halal di Olimpik Tokyo 2020
Bernama
November 18, 2019 05:25 MYT
November 18, 2019 05:25 MYT
Kerajaan secara dasarnya bersetuju membangunkan 'Malaysia Street' sempena temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik di Tokyo tahun depan, kata Menteri Pembangunan Usahawan (MED) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.
Beliau berkata ia bagi mempromosi dan memasar produk halal Malaysia secara langsung kepada 40 juta pengunjung termasuk lapan juta pengunjung Muslim dan penduduk setempat.
"Kerajaan Jepun sediakan kawasan (tapak), ia akan dibangunkan secara 'partnership' antara kerajaan dan usahawan, kita akan jadi pemudahcara.
"Contohnya, disediakan 'booth' dan 'halal kitchen' supaya pengunjung yang disasarkan ke temasya itu dapat menikmati makanan dan produk halal usahawan Malaysia," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi Kementerian Pembangunan Usahawan di Persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Katanya program itu dijangka akan memberikan pulangan yang besar kerana pasaran halal di Jepun bernilai RM1.2 bilion.
Beliau berkata MED juga telah melantik empat syarikat peneraju bagi menjadi 'anchor' untuk memasarkan pelbagai produk halal dari negara ini sempena temasya berkenaan.
Sementara itu, menyentuh kebimbangan sesetengah pihak berkenaan pengurangan peruntukan kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Mohd Redzuan berkata walaupun dengan peruntukan RM105 juta tahun depan, TEKUN akan menambah sebanyak RM250 juta dengan dana pengurusan agensi itu sendiri.
"Hasil dari urus tadbir yang baik, dana suntikan ini telah dapat kita tingkatkan, tahun lepas kita dapat RM120 juta tapi kita belanjakan RM330 juta untuk usahawan TEKUN," katanya.
Tambahnya, sejak 1998 hingga Okt lepas, TEKUN telah menyalurkan pinjaman RM2.7 bilion daripada keseluruhan jumlah pinjaman RM5.6 bilion, dengan hampir 50 peratus kepada usahawan wanita di negara ini.
Persidangan dewan bersambung Selasa (19 November).
-- BERNAMA