KOTA TINGGI: Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 menyokong sepenuhnya penyertaan Timor-Leste dalam blok berkenaan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau menekankan bahawa Malaysia telah berperanan penting dalam memasukkan beberapa negara anggota ASEAN lain menyertai blok serantau ini.

"Pada tahun ini, sekali lagi, kami bersedia untuk melaksanakan peranan utama dalam memudahkan permohonan Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11," katanya ketika berucap pada majlis makan malam alu-aluan bagi meraikan delegasi Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 di Desaru malam ini.

Timor-Leste sedang menantikan keputusan konsensus daripada negara anggota ASEAN mengenai penerimaannya sebagai anggota penuh dalam organisasi serantau berkenaan.

Negara berkenaan diiktiraf sebagai pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005 sebelum secara rasminya memohon untuk menjadi ahli pada 4 Mac 2011.

Tengku Zafrul akan mempengerusikan Permukiman AEM ke-31 di Desaru esok, yang dijangka dihadiri oleh lebih 200 delegasi dari 10 negara anggota ASEAN dan Timor-Leste.

Dalam permukiman ini, para menteri dijangka membincangkan 18 Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan yang bertujuan memperkukuh integrasi ekonomi serantau, meningkatkan keterangkuman, memperkasakan kemampanan dan merangsang perdagangan digital di rantau ASEAN.

-- BERNAMA