Malaysia sokong BRI, tapi bukan dikawal China - Duta
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 17, 2018 17:22 MYT
Ogos 17, 2018 17:22 MYT
Malaysia kini dalam proses mengenalpasti projek-projek jalin langsung dengan China bagi memastikan ia memberi impak positif dalam perkembangan ekonomi negara.
Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya berkata menerusi inisiatif One Belt, One Road (OBOR), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi menilai impak projek-projek yang dilaksanakan.
Jelas beliau, Kerajaan Malaysia ketika ini dibawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kekal dengan pendirian menyokong inisiatif OBOR atau dikenali sebagai Belt and Road Inititive (BRI) itu, namun ia tidak harus dikawal
"Perdana Menteri sangat jelas bahawa Malaysia di bawah Kerajaan baharu kekal menyokong BRI.
"Apa yang penting bagi saya adalah untuk kita mengenalpasti apakah projek-projek yang akan memberi manfaat kepada kita (Malaysia). Kita tidak seharusnya dikawal oleh China.
"MITI telah menubuhkan jawatankuasa sekretariat BRI. Jadi saya rasa MITI perlu kenal pasti apakah projek-projek yang memberi manfaat kepada kita," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sidang media tersebut adalah sempena lawatan kerja rasmi Dr Mahathir ke China selama lima hari bermula hari ini atas jemputan rakan sejawatnya, Li Keqiang.
Pada lawatan kali ini, Dr Mahathir akan menyaksikan lima perjanjian persefahaman (MOU) selain manik pelaburan langsung asing (FDI) dari negara itu ke Malaysia.
Tambah Zainuddin, lawatan ini juga bakal memacu hubungan kedua-dua buah negara ini di masa hadapan terutamanya dalam bidang politik, perdagangan, pelaburan, pertanian, teknologi dan keselamatan serantau.
"Selian pertemuan dengan Li di Beijing, Dr Mahathir juga akan bertemu Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping untuk membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama," katanya.
Dr Mahathir juga dijadual mengadakan sesi dialog bersama usahawan terkemuka dan bakal pelabur dari China selain menghadiri majlis makan malam bersama rakyat Malaysia.
Selama sembilan tahun berturut-turut, China merupakan rakan dagang utama buat Malaysia di mana pada 2017, jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan China mencecah RM290.65 bilion.
#Belt and Road Initiative
#BRI
#China
#Mahathir Mohamad
#MITI
#OBOR
#One Belt One Road
#zainuddin yahya