Malaysia-Singapura tingkat kerjasama keselamatan data, ekonomi digital - Fahmi
Irfan Faruqi
Januari 30, 2023 19:57 MYT
Januari 30, 2023 19:57 MYT
SINGAPURA: Malaysia dan Singapura menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mempromosikan kerjasama aspek data, keselamatan siber dan ekonomi digital.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata kerjasama dua negara akan ditingkatkan dari segi perkongsian kepakaran, dasar dan kawal selia.
"Kita juga akan bersama melaksanakan mekanisme aliran data rentas sempadan dibawah ASEAN Framework On Digital Data Governance (Kerangka Urus Tadbir Data Digital), serta bertukar maklumat tentang mana-mana isu yang penting.
"Ia termasuk insiden dan penyiasatan berkaitan perlindungan data rentas sempadan yang sedang berlaku. Sama ada ia berkaitan individu atau organisasi," katanya dalam sidang media di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, hari ini.
Kerjasama tersebut melibatkan pertukaran maklumat, analisis insiden serangan siber dan isu berkaitan.
"Sebab kita lihat sekarang ancaman berlaku hampir setiap minggu... berusaha untuk membolos pangkalan data di Malaysia. Isunya dalam sesetengah kes kita tidak dapat pastikan serangan itu datang daripada mana," katanya lagi.
Selain itu, katanya Malaysia dan Singapura akan mengenal pasti agensi yang akan diberi keutamaan untuk mewujudkan Meja Bulat Keselamatan Siber Malaysia-Singapura.
Ini satu langkah yang positif berhubung ekonomi digital yang melibat ruang lingkup Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), katanya.
Fahmi menjelaskan bahawa ia tertumpu kepada pertukaran maklumat, amalan terbaik dan dasar yang melibatkan digitalisasi, serta teknologi baharu seperti blok rantai dan kecerdasan buatan.