Malaysia Singapura teroka inisiatif kerjasama baru

Marlina Manaf
Februari 18, 2013 19:33 MYT
Perdana Menteri Malaysia dan Singapura dijangka meneroka inisiatif-inisiatif baru dalam usaha memperkukuh kerjasama bilateral antara dua negara.
Perkara tersebut dinyatakan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, menjelang pertemuan empat mata antara Datuk Seri Najib Razak dan Lee Hsien Loong.
Anifah menyifatkan kerjasama Malaysia-Singapura ketika ini berada di tahap terbaik.
“Kini ada semangat baru di Malaysia dan Singapura bahawa hubungan kedua-dua negara akan terus berada di landasan yang betul ke arah kerjasama yang erat.
“Komitmen yang ditunjukkan oleh YAB Perdana Menteri dan Lee untuk perkukuhkan hubungan telah disambut baik,” kata Anifah.
Kedua-dua pemimpin juga akan meneliti perkembangan pelaksanaan beberapa inisiatif di bawah perkara-perkara yang dipersetujui, POA 1990 dan yang dibincangkan pada sesi pemukiman tahun lalu.
Ini termasuk pembangunan projek kerjasama M+S Pte Limited, syarikat kerjasama Khazanah Nasional Sdn Bhd dan Temasek Holdings Private Limited.
Pembangunan bersama tersebut terdiri daripada projek Marina One dan projek Duo di Singapura dan projek Resort Wellness oleh Pulau Indah Ventures Sdn Bhd di Iskandar Malaysia, yang dijadualkan di lancarkan oleh Najib dan Hsien Loong pada Selasa.
Selain itu inisiatif perkhidmatan penerbangan dan lapangan terbang antara Lapangan Terbang Senai dan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.
#Anifah Aman #Datuk Seri Najib Razak #inisiatif baru #Lee Hsien Loong #Perdana Menteri #Singapura
;