Malaysia - Singapura setuju runding isu penambakan Batu Puteh
Ridauddin Daud
Januari 30, 2023 19:14 MYT
Januari 30, 2023 19:14 MYT
SINGAPURA: Kerajaan Malaysia dan Singapura bersetuju untuk berunding mengenai isu Batu Puteh terutamanya melibatkan aktiviti penambakan di sekitar kawasan itu.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, meskipun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) membuat keputusan bahawa kawasan itu milik Singapura, namun, Malaysia meminta negara itu meneliti penambakan yang berlaku di situ.
Kata Perdana Menteri, setiap aktiviti penambakan memberi kesan kepada persekitaran serta persempadanan dan isu tersebut harus dimuktamadkan segera.
Tambah Anwar, Singapura menerusi Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong sudah menyatakan persetujuan untuk mendengar hujah Malaysia dalam masa terdekat.
"Isu Batu Puteh, ia sudah diputuskan ICJ dan Kabinet telah buat keputusan untuk nyatakan sikap kita untuk tidak setuju dengan pendirian mantan Perdana Menteri yang tidak bawa kes ini ke rayuan kepada ICJ.
'Ini merugikan kita. Jadi kita kesal dan membantah tetapi ICJ buat keputusan dan sebagai negara merdeka dan berdaulat, kita mestilah hormati keputusan ICJ.
"Langkah penambakan yang dilakukan ada dibincangkan dan Perdana Menteri Singapura setuju teliti kajian pasukan kita berkaitan alasan-alasan dikemukakan, kerosakan persekitaran dan sempadan sebelum buat keputusan muktamad," katanya.
Begitupun, tegas Anwar, ia tidak akan mengubah keputusan ICJ kerana Malaysia lambat merayu keputusan mahkamah itu.
"Kita dah terlepas kesempatan itu. Sebab itu Kabinet buat keputusan (nyatakan bantahan tidak merayu). Pasukan khas yang kaji kes ini, bila Kabinet teliti kita bantah keras keputusan tak buat rayuan tapi dah tamat tempoh dan terpaksa terima keputusan ICJ.
"Tetapi penafsiran, pentakrifan dan interpretasi persetujuan itu, itu yang sedang kita bincang sejauh mana tambak yang boleh dilakukan.
"Tapi saya dari kerajaan Malaysia nak rundingan itu buat secara baik atas hubungan dua negara," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Beramah Mesra Dengan Diaspora Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, di sini, pada Isnin.
Dalam majlis itu, Perdana Menteri meluangkan masa hampir satu jam menyampaikan ucapan dan menjawab beberapa soalan berkaitan hala tuju negara di hadapan ratusan diaspora Malaysia.