Malaysia-Singapura setuju laksana Aturan Lawatan Kecemasan Sakit Kritikal dan Kematian - Hishammuddin

Hasimi Muhamad
Mei 2, 2021 15:56 MYT
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn berkata, kedua-dua negara telah merangka dan bersetuju mengenai garis panduan bagi aturan DCEV yang akan dilaksanakan mulai 17 Mei ini.- Foto Kementerian Luar Singapura
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura mencapai kata sepakat untuk melaksanakan Aturan Lawatan Kecemasan Sakit Kritikal dan Kematian (DCEV) membabitkan pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn berkata, kedua-dua negara telah merangka dan bersetuju mengenai garis panduan bagi aturan DCEV yang akan dilaksanakan mulai 17 Mei ini.
Katanya, DCEV merupakan skim pampasan perjalanan untuk kematian, penyakit kritikal, serta lawatan kecemasan membabitkan Malaysia-Singapura.
"Perincian lanjut mengenai prosedur dan syarat kemasukan akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa masing-masing, iaitu Jabatan Imigresen Malaysia dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Hishammuddin tiba di Singapura bagi mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke republik itu selama dua hari bermula Sabtu.
Wisma Putra dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan lawatan rasmi ke republik itu merupakan jemputan daripada rakan sejawatannya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, kedua-dua negara melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital Singapura (SNDGO) turut bersetuju untuk sijil vaksinasi yang dikeluarkan nanti boleh dibaca secara digital dan disahkan.
Persetujuan tersebut susulan daripada mesyuarat yang diadakan oleh Hishammuddin dan Vivian pada Mac lalu.
"Kami berharap perjanjian ini akan membuka jalan kepada perbincangan lanjut antara Malaysia dan Singapura untuk memuktamadkan perjanjian bagi pelancong yang divaksin untuk menyambung semula perjalanan rentas sempadan dalam masa terdekat.
"Ini adalah nilai tambah kepada rundingan berterusan namun di bahagian operasi, lebih banyak kerja perlu dilakukan oleh agensi dan pihak berkuasa masing-masing untuk saling mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 masing-masing seperti menghubungkan platform – MySejahtera untuk Malaysia, dan TraceTogether (Singapura)," kata beliau lagi.
Berhubung gelembung perjalanan udara pula, Hishammuddin berkata perbincangan masih lagi berlangsung.
Katanya, kementerian menyedari bahawa cadangan tersebut hadir bersama cabaran yang tersendiri untuk direalisasikan.
Bagaimanapun, Kementerian Luar menggesa agar agensi-agensi utama kedua-dua negara untuk memperhebatkan usaha mereka dan mencari jalan untuk melaksanakan dan mengoperasikan perkara tersebut.
Mengenai penyambungan semula Lorong Hijau Timbal Balik (RGL), Hishammuddin berkata kerajaan berharap agar skim tersebut dapat dilaksanakan semula secepat mungkin bagi memudahkan pergerakan perniagaan dan perjalanan rasmi.
"Mengenai Aturan Perjalanan Berkala (PCA) pula, walaupun tidak digantung, kami faham bahawa prosedur operasi standard (SOP) atau syarat menjadi lebih ketat di mana semua pekerja Malaysia, termasuk diplomat, perlu menjalani Notis Tinggal Di Rumah (SHN) di kemudahan yang ditetapkan apabila pulang ke Singapura.
"Kami berharap Kerajaan Singapura dapat mempertimbangkan untuk memberi sedikit kelonggaran dalam membenarkan pekerja dan diplomat Malaysia di bawah skim PCA dikuarantin di kediaman mereka sendiri - sama seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia kepada pekerja dan diplomat Singapura di Malaysia," tambahnya.
Sementara itu, dalam kenyataan bersama, Hishammuddin dan Vivian berkata Malaysia dan Singapura akan terus melaksanakan kemajuan dalam program vaksinasi masing-masing untuk memvaksinasi penduduk, termasuk rakyat Malaysia yang tinggal di Singapura, dan warga Singapura menetap di Malaysia.
#Hishammuddin Hussein #Wisma Putra #rentas sempadan #Singapura #Aturan Lawatan Kecemasan Kritikal III dan Kematian DCEV #DCEV #Dr Vivian Balakrishnan #Malaysia
;