Malaysia-Singapura rakan strategik untuk kerjasama kukuh - PM Anwar
Amirul Aiman
September 26, 2024 13:10 MYT
September 26, 2024 13:10 MYT
ISKANDAR PUTERI: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia dan Singapura adalah rakan yang strategik serta boleh menjadi rakan kongsi yang baik dengan kerjasama berterusan.
Menurut Perdana Menteri, hubungan erat antara kedua-dua negara mampu mencapai kejayaan lebih besar melalui pendekatan menang-menang.
Bercakap pada persidangan Invest Malaysia di Johor pada Khamis, Anwar turut menekankan, sebarang isu antara Malaysia dan Singapura adalah cabaran kecil yang biasa dihadapi oleh negara-negara jiran.
“Lihat, semua negara mempunyai masalah dengan jiran mereka. Amerika Syarikat dengan Kanada adalah contoh yang baik, begitu juga negara-negara di Eropah.
“Namun, isu-isu ini bukanlah masalah yang boleh mencetuskan ketegangan atau mengundang pertelingkahan,” ujar beliau.
Beliau turut mengingatkan sejarah panjang kerjasama antara Malaysia dan Singapura perlu diteruskan untuk manfaat bersama.
Dalam konteks pembangunan ekonomi, Anwar menekankan, Malaysia kini berada dalam kedudukan terbaik untuk menyokong projek Zon Ekonomi Khas Johor Selatan (JSSEZ).
Menurut Perdana Menteri, lebihan tenaga dari negeri-negeri seperti Selangor dan Sarawak mampu menyokong pembangunan JSSEZ, selain membantu meningkatkan eksport tenaga negara.
“Jika diambil kira pelbagai projek berfokuskan tenaga di semua negeri dan wilayah Malaysia, anda akan lihat Selangor dan Sarawak bergerak sebagai hab tenaga.
“Kami yakin dengan lebihan tenaga yang boleh menyokong pembangunan seperti JSSEZ, serta mencukupi untuk meningkatkan eksport tenaga kita,” katanya.