Malaysia, Singapura perhalusi usaha perkukuh kerjasama pertahanan - Hishammuddin
Bernama
Jun 12, 2022 18:56 MYT
Jun 12, 2022 18:56 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura memperhalusi usaha ke arah memperkukuh kerjasama pertahanan terutama antara angkatan tentera kedua-dua negara, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Susulan lawatan kerja selama tiga hari di Singapura bermula Jumaat lalu, katanya, langkah itu adalah hasil mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya Dr Ng Eng Hen.
"Selain itu, saya dan Ng turut berbincang tentang beberapa isu keselamatan serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya mesyuarat berkenaan diadakan sempena lawatan kerja itu bagi memenuhi jemputan ke Shangri-La Dialogue anjuran The International Institute for Strategic Studies.
Katanya selain Ng, beliau turut mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin tertinggi Singapura termasuk Presiden Halimah Yacob, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Menteri Kanan dan Menteri Koordinasi Keselamatan Kebangsaan Teo Chee Hean dan Menteri Dalam Negeri dan Undang-Undang K. Shanmugam.
"Gembira untuk saya laporkan, pertemuan bersama pemimpin tersebut berlangsung dalam suasana yang cukup mesra dan harmoni serta benar-benar menyerlahkan hubungan akrab dan istimewa antara Malaysia dan Singapura yang telah terjalin selama puluhan tahun," katanya.
Hishammuddin juga berkata semasa berada di Singapura, beliau turut mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin negara-negara sekutu termasuklah dari Amerika Syarikat, Australia dan China.
"Ia sekali gus membuka ruang untuk kami bertukar-tukar pandangan dalam banyak isu keselamatan global serta berkongsi komitmen untuk membawa diplomasi pertahanan antara negara masing-masing ke tahap lebih tinggi," katanya.
Sementara itu, Hishammuddin berkata ketika menghadiri dialog tersebut, beliau turut diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan bagi pihak Malaysia dalam sesi pleno ketiga bertajuk "Membangunkan Kerjasama Keselamatan Baharu".
-- BERNAMA