Malaysia, Singapura meterai perjanjian tambahan gantung pembinaan Projek Laluan RTS

Bernama
Mei 21, 2019 18:36 MYT
Loke bertukar dokumen perjanjian dengan Khaw sempena majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan berkaitan Penangguhan Projek RTS Johor-Singapura hari ini. --fotoBERNAMA
Malaysia dan Singapura hari ini secara rasmi menandatangani perjanjian tambahan (SA) untuk menggantung pembinaan Projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) sehingga 30 September tahun ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Malaysia akan membayar balik sebanyak RM2 juta kepada Singapura pada 31 Julai, 2019, sebagai kos kegagalan yang ditanggung akibat daripada penggantungan selama enam bulan.
Loke dan rakan sejawatannya dari Singapura Khaw Boon Wan memeterai perjanjian tersebut untuk mengumumkan penggantungan itu di Kementerian Pengangkutan di sini.
Perjanjian dua hala mengenai Laluan RTS itu telah ditandatangani pada Januari tahun lepas semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional
Menurut Loke, di bawah perjanjian asal, tambang bagi perjalanan sehala ditetapkan sebanyak RM15 ia akan membebankan rakyat Malaysia yang berulang alik ke Singapura setiap hari untuk bekerja.
Pembinaan projek itu pada awalnya dijadualkan tahun ini dan dijangka siap pada Disember 2024.
Ia bertujuan menangani masalah kesesakan lalu lintas untuk perjalanan ulang alik antara kedua-dua negara itu setiap hari.
Projek Laluan RTS merangkumi landasan sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar (Johor Baru) dan Woodlands ( Singapore), dengan kapasiti mengangkut 10,000 penumpang setiap jam.
Sementara itu, Khaw berkata Malaysia perlu membayar lebih daripada S$66 juta (RM200 juta) sekiranya ia memilih untuk menamatkan projek berkenaan.
Kedua-dua menteri kemudiannya melawat tapak projek Laluan RTS itu di Woodlands North.
Ditanya mengenai berapa banyak pengurangan kos yang Malaysia mahukan, Loke tidak meletakkan sebarang angka kerana perbincangan antara kedua-dua negara masih berlangsung.
"Kami juga sedang mencari sektor swasta untuk terlibat dalam projek ini. Jadi ini melibatkan perbincangan komersial.
"Apa yang paling penting adalah sama ada kita dapat mengurangkan kos infrastruktur yang akan memberi manfaat kepada penumpang dan orang awam, kerana ia akan mengurangkan kadar tambang," kata Loke.
Mengenai sama ada kerajaan telah mengenal pasti sektor swasta yang akan terlibat, Loke berkata "Belum lagi."
Loke juga melahirkan penghargaannya terhadap sokongan dan pemahaman Singapura terhadap cabaran yang dihadapi Malaysia dalam melaksanakan projek Laluan RTS ini.
Menurutnya, sepanjang tahun ini beliau telah bertemu dengan rakan sejawatannya sebanyak enam kali untuk berbincang mencari jalan penyelesaian isu-isu dua hala termasuk perjanjian RTS.
"Kami menyedari keperluan mendesak untuk mengurangkan kesesakan trafik di Tambak Johor Baharu - Singapura yang memudahkan kira-kira 300,000 orang melintasi sempadan setiap hari melibatkan kira-kira 250,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura," katanya.
Loke berkata perjanjian tambahan itu akan memberikan Malaysia sedikit masa untuk mencari penyelesaian lain yang lebih sesuai dan mampan bagi menangani kesesakan trafik di sempadan negara.
"Ini termasuklah inisiatif baharu seperti penambahbaikan infrastruktur fizikal di sempadan, kajian semula polisi dan peraturan antara sempadan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan rentas sempadan," katanya.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua menteri mengenal pasti keperluan mendesak mengurangkan kesesakan trafik di Tambak Johor Bahru-Singapura.
Kedua-dua negara itu juga akan meneruskan perbincangan mengenai penyelesaian mampan dan bersesuaian untuk menangani kesesakan trafik di sempadan.
"Kami juga akan mencari inisiatif seterusnya, termasuk menggunakan teknologi baharu untuk meningkatkan keselamatan dan kecekapan di pusat pemeriksaan," kata kenyataan itu.
Kedua-dua menteri itu juga menyedari kepentingan bagi kedua-dua negara untuk mewujudkan kesalinghubungan pengangkutan yang efektif, cekap dan mampan, kerana ia akan mengeratkan hubungan antara rakyat dan menjana faedah ekonomi dan sosial bersama.
-- BERNAMA
#Anthony Loke #ekonomi #kerajaan #keselamatan #kesesakan lalu lintas #Khaw Boon Wan #Laluan RTS #Malaysia #Menteri Pengangkutan #penggantungan #pengurangan kos #perjanjian tambahan #rakyat #RM2 juta #RTS #Singapura #Sistem Transit Rapid #Tambak Johor #tambang
;